Sabtu, 30 Mei 2009

Penanti: Kit Siang antara 3 pemimpin pembangkang disiasat beri ceramah hasutan

BERNAMA


BUKIT MERTAJAM: Polis membuka kertas siasatan terhadap tiga pemimpin pembangkang berhubung dakwaan menyampaikan ceramah berbaur hasutan semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, ketiga-tiga pemimpin itu ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) N. Gobalakrishnan dan Badrul Hisham Shaharin.

"Semasa mengeluarkan permit ceramah pihak penganjur sudah diberitahu supaya setiap ceramah tidak mengandungi hasutan, fitnah, provokasi dan menyentuh tentang hal berkaitan perbicaraan mahkamah.

"Jika mereka gagal mengikut peraturan, kita kena buat sesuatu untuk menghentikan mereka daripada mengulangi perkara itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka di siasat mengikut Sekyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Ayub berkata, polis telah mengambil keterangan Lim di rumahnya di Island Glade pagi ini dan Badrul memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam, manakala Gobalakrishnan belum memberi keterangan.

"Kami terima laporan, jadi kami ambil keterangan mereka. Kami harap dapat melengkapkan kertas siasatan ini dalam tempoh seminggu," katanya.

Selain itu, Ayub berkata, polis menerima 19 laporan berhubung kempen pilihan raya kecil itu.

"Kami membuka 10 kertas siasatan dan dua lagi kami rujuk kepada agensi terlibat seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan," katanya.

Ayub mengingatkan orang ramai, calon serta penyokong parti yang bertanding supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan pada hari pengundian esok.

Pilihan raya kecil Penanti diadakan setelah wakil rakyatnya, Mohammad Fairus Khairuddin, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang meletak jawatan.

Tiada ulasan: