Jumaat, 29 Mei 2009

Lembaga Pelabuhan Klang lapor SPRM

BERITA HARIAN ONLINE


PELABUHAN KLANG: Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), hari ini.

Pengerusinya, Datuk Lee Hwa Beng, berkata beliau sendiri akan membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya, pada jam 8 pagi ini.

Ditanya mengenai perkara yang akan dilaporkan, beliau hanya meminta pihak media membacanya sendiri kerana laporan yang disediakan firma perakaunan dan percukaian Pricewaterhouse Coopers (PwC) itu tebal.

"Laporan boleh diakses menerusi laman web di alamat www.pka-report.com, selama dua minggu iaitu sehingga 10 Jun. Ia boleh diakses dua minggu saja kerana kami terpaksa menyewa pelayan dari luar dan membabitkan kos yang tinggi," katanya pada sidang media di bilik yang penuh sesak dengan petugas media di PKA di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan PwC, Chin Kwai Fatt dan rakan kongsi PwC, Lim San Peen, untuk mengesahkan laporan tulen dan diumumkan sepenuhnya.

Lee berkata, kebiasaannya PwC tidak membenarkan laporan mereka diumumkan kepada awam dan berikutan itu firma berkenaan mengeluarkan laporan dengan tiga syarat.

Syarat pertama ialah pembaca tidak dibenarkan menggunakan atau bergantung kepada laporan itu untuk membuat sebarang kesimpulan. Syarat kedua ialah laporan disediakan untuk PKA dan tugas PwC adalah untuk PKA saja dan tidak bertanggung jawab kepada mana-mana pihak lain. Syarat ketiga pula PwC tidak wajib menjawab soalan mengenai laporan itu.

Tiada ulasan: