Isnin, 4 Mei 2009

Hadkan Penyokong: Umno sambut baik tapi SPR, polis perlu tentukan mekanisme

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Umno menyambut baik pendekatan yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu melarang parti-parti politik yang bertanding agar tidak membawa penyokong melebihi 5,000 orang pada hari penamaan calon.

Ketua Penerangannya, Ahmad Maslan berkata Umno memandang larangan tersebut dari sudut positif jika tindakan yang diambil oleh SPR itu adalah untuk kebaikan semua pihak bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar.

"Walau apa pun, jika kebaikan mengatasi keburukan, kita akan menerimanya.

"Saya percaya SPR sudah memikirkan sebab-sebab yang munasabah sebelum mereka memutuskan untuk memperkenalkan larangan ini," katanya kepada mStar Online.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata keputusan mengehadkan kehadiran jumlah penyokong pada hari penamaan calon agar tidak melebihi 5,000 orang telah diputuskan semasa pertemuan antara suruhanjaya itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis lalu.

Pendekatan itu akan dikuatkuasakan semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang bulan ini.

Bagaimanapun Ahmad berkata SPR dan polis perlu menentukan mekanisme yang bakal diambil bagi memastikan kelancaran proses pelaksanaannya.

"SPR dan polis perlu menentukan kaedah yang bakal diambil untuk laksanakan larangan ini.

"Memandangkan ini adalah sesuatu yang baru, jadi semua pihak pasti tertanya-tanya mengenai kaedah yang bakal diambil," katanya.

Dalam pada itu Ahmad berkata masih terlalu awal untuk semua pihak menilai mengenai keberkesanan pendekatan mengehadkan jumlah kehadiran penyokong pada hari penamaan calon.

"Perkara ini adalah sesuatu yang baru, jadi kita tak boleh nak buat penilaian sama ada ia baik ataupun tidak.

"Kita tengok dulu pada pilihan raya (kecil) Penanti nanti, lepas tu barulah kita tegur jika ada kelemahan," katanya.

Tiada ulasan: