Isnin, 4 Mei 2009

Hadkan penyokong: Pakatan gesa SPR tarik balik keputusan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menyifatkan larangan terbaru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar parti-parti politik yang bertanding tidak membawa penyokong melebihi 5,000 orang pada hari penamaan calon adalah tindakan karut.

Malah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi menggesa agar SPR menarik balik larangan yang dianggap tidak munasabah itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dengan tegas berkata SPR cuba memperkenalkan satu larangan yang karut dan tidak berasas.

"Karut...ini semua tindakan karut yang tidak berasas," katanya kepada mStar Online.

Beliau turut mendakwa SPR sebagai sebuah badan bebas yang mengendalikan pilihan raya mengambil tindakan seolah-olah tidak memahami situasi politik di Malaysia.

"Apa ni? Apa yang boleh saya katakan mereka (SPR) tak faham keadaan politik dan situasi pilihan raya di Malaysia.

"Ini satu tindakan yang cukup tidak praktikal...bagaimana kita boleh kawal jumlah orang yang nak datang?

"Kita bantah keputusan ini dan kita mahu SPR tarik balik larangan ini," katanya dengan tegas.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata keputusan mengehadkan kehadiran jumlah penyokong pada hari penamaan calon agar tidak melebihi 5,000 orang telah diputuskan semasa pertemuan antara suruhanjaya itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis lalu.

Pendekatan itu akan dikuatkuasakan semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang bulan ini.

Dalam pada itu Naib Presiden PKR, R. Sivarasa turut berpendapat bahawa pendekatan terbaru SPR itu dilihat tidak praktikal untuk dilaksanakan.

Jelas beliau tindakan melarang kehadiran penyokong yang ramai akan lebih mendatangkan lebih banyak masalah.

"Macam mana mereka nak hadkan jumlah orang yang mahu datang? Sebab itu dari awal lagi kita sudah nyatakan tindakan seumpama ini adalah sangat tidak praktikal.

"Saya bimbang, lagi kita larang, lagi banyak masalah yang akan timbul.

"Sukar kita nak halang penyokong agar tidak datang, tujuan mereka ialah untuk memberi sokongan kepada calon," katanya.

Tambah beliau kekecohan mungkin akan berlaku apabila sesuatu kawasan penamaan calon itu dikawal ketat oleh pasukan polis biasa dan juga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

"Kalau mereka nak halang orang ramai datang, sudah pasti lebih banyak FRU akan ditempatkan.

"Situasi akan menampakkan lebih ketegangan dan mungkin kadang-kala kekecohan akan berlaku apabila polis mengambil tindakan," katanya.

Manakala Setiausaha Publisiti Nasional (DAP), Tony Pua mempersoalkan pendekatan yang bakal diambil oleh SPR dan polis bagi mengehadkan jumlah penyokong yanga akan hadir pada hari penamaan calon.

"Macam mana mereka nak buat? Perkara ini perlu diperjelaskan dahulu.

"Adakah mereka nak bagi nombor kepada setiap orang yang akan datang, siapa nak tentukan jumlah penyokong sesebuah parti itu sudah cukup atau belum?

Tambah beliau, Pakatan Rakyat juga ragu dengan penetapan jumlah penyokong yang buat pertama kalinya akan dilaksanakan pada pilihan raya kecil DUN Penanti nanti.

"Kalau mereka tentukan jumlah tak boleh lebih 5,000 orang, siapa boleh beri jaminan jumlah penyokong BN (Barisan Nasional) dan Pakatan Rakyat betul-betul seimbang?

"Kami tak mahu nanti wujudnya tindakan berat sebelah," katanya.

Tiada ulasan: