MSTAR ONLINE
IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar hari ini mendakwa notis untuk DUN Perak bersidang pada 7 Mei ini telah dikeluarkan Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Sivakumar berkata, beliau telah menggantung tugas Abdullah sebagai Setiausaha DUN kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.
"Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini hari ini.
Sivakumar berkata, akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.
"Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.
"Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Ahli DUN," katanya.
Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam.
Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.
Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihan raya bagi DUN perlu diadakan.BERNAMA
BERITA TERDAHULU
IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, N. Sivakumar hari ini menggantung tugas Setiausaha Dewan Abdullah Abdullah Antong Sabri - buat kali kedua sejak Mac lalu kerana mengeluarkan notis panggil mesyuarat Dewan tanpa pengetahuan beliau.
Semalam, Abdullah berkata, DUN Perak akan bersidang pada 7 Mei ini,
Abdullah turut mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada tarikh itu kepada semua anggota DUN mulai hari ini.
"Itu (mengeluarkan notis) adalah tugas saya dan ia dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang ada," katanya semalam.
Beliau juga berkata, pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung persidangan DUN itu kelmarin dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.
Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 November 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihan raya bagi DUN perlu diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan