Sabtu, 24 November 2018

Umno syak 'baik' PH tolak Icerd ada makna

MALAYSIAKINI


   
Umno meragui keikhlasan kerajaan enggan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) seperti diumum Pejabat Perdana Menteri petang tadi.

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut mungkin dibuat sebagai persediaan Pakatan Harapan (PH) menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Rantau, Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Malah kata bekas timbalan perdana menteri itu keputusan Putrajaya enggan mengiktiraf Icerd juga mungkin kesan daripada rancangan pembangkang mahu mengadakan Perhimpunan Kebangkitan Ummah pada 8 Dis ini.

Justeru kata Ahmad Zahid kerajaan perlu mengikut prosedur tetap bagi mengumumkan keputusan berkaitan dasar luar negara ini.

"Sehingga ianya dimasukkan ke hansard Parlimen, kami sukar untuk mempercayai keikhlasan kerajaan dalam membuat keputusannya," kata anggota parlimen Bagan Datuk itu dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Pejabat Perdana Menteri petang tadi mengeluarkan kenyataan rasmi menolak meratifikasi Icerd kerana hal-hal berkaitan hak semua kaum dalam negara ini memang sudah termaktub dalam perlembagaan.

Icerd sebelum ini menjadi sebab untuk Umno dan PAS bertaut bagi mengadakan himpunan protes di Kuala Lumpur.

Kena ada rekod
 
Kedua-dua parti - bersama beberapa pertubuhan lain - berjanji mengerah penyokong masing-masing berkumpul pada 8 Dis ini.

Bagaimanapun PAS serta Gerakan Pembela Ummah (Ummah) tetap meneruskan himpunan tersebut walaupun kerajaan sudah mengesahkan untuk menolak ratifikasi Icerd.

Mereka berkata himpunan itu akan diteruskan tetapi ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Selain Ahmad Zahid, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan ketua penerangannya Shamsul Anuar Nasarah turut mengeluarkan kenyataan sama.

Kata Ahmad Zahid pengumuman dibuat hari ini tidak mengikut formaliti pentadbiran kerana ia hanya boleh disahkan melalui tanda tangan perdana menteri.

"Perdana menteri kemudian membawa usul itu ke parlimen untuk direkodkan dalam hansard rasmi," katanya.

Langkah yang diambil sekarang, menurut Ahmad Zahid, tidak dapat diterima kerana ia boleh berubah pada bila-bila masa.


Tiada ulasan: