IPOH - Semua 25 Adun BN Perak tidak takut malah bersedia memberi kerjasama sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujudnya gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesediaan itu berlandaskan fakta dan bukti kukuh yang dipunyai mereka berdasarkan peristiwa yang berlaku.

Menurutnya, meskipun isu telah dibangkitkan, sehingga kini individu iaitu exco yang dikatakan itu masih berusaha memujuk Adun BN meneruskan usaha menjatuhkan menteri besar.

“Ini bukan isu main-main, kalau buat laporan polis, janganlah pula terkejut apabila laporan polis itu nanti terkena kepada seorang daripada orang mereka (PH).

[ARTIKEL BERKAITAN: 25 Adun BN keluar dewan]

“Sudah tentu polis akan ambil tindakan terhadap orang yang berkenaan dan akan dipanggil polis dan kena mengaku apa yang dibuat, jadi jangalah beranggapan dengan laporan polis itu kami akan berhenti bercakap.

“Kami bersedia untuk bercakap, kami sekarang pembangkang, apa yang perlu ditakutkan,” katanya kepada pemberita pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan polis dibuat Ahli Parlimen Batu Gajah  yang juga Ketua Sekretariat PH Perak, V Sivakumar, semalam.

Sivakumar membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi agar satu siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pimpinan PH tidak sewajarnya memutarbelitkan isu itu dengan menampakkan ia sengaja dimainkan pembangkang untuk kucar-kacirkan pentadbiran kerajaan sedangkan yang berantakan adalah kalangan pimpinan PH sendiri.

Katanya, tiada sebab pembangkang berbuat demikian, mereka hanya bersikap gentlemen untuk memastikan pembangkang menang pada PRU15 nanti.

"Jangan pula kerana mereka yang buat hal (cuba menjatuhkan MB), kami pula yang diburukkan, itu tak betul.

"Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah sudah pun membuat laporan polis... cuma menariknya laporan polis (dibuat) di KL (Kuala Lumpur), jadi kita bersedia menunggu bila polis akan jemput untuk hadir beri keterangan.

"Cuma saya kena ingatkan Sivakumar, bila buat laporan polis dia kena sedia tanggung risiko atas perbuatannya," katanya.