Sabtu, 17 November 2018

'Skuad Badar tiada agenda, hanya nak serah memorandum'

 
   

Kumpulan Antikhalwat Skuad Badar menafikan ada agenda lain di sebalik penyerahan memorandum bantahan penyebaran Bible di negeri Kedah, esok.

Pengerusinya Azhaar Mohamad turut berkata pihaknya tetap akan berhimpun pada sebelah pagi di Wisma Negeri Kedah dengan memakai baju hitam bagi menghantar memorandum itu.

Azhaar turut berkata, pada sebelah petang pula, beliau akan berjumpa dengan Exco Agama Kedah, Dr Ismail Salleh bagi melahirkan kebimbangannya berkaitan insiden penyebaran Bible.

“Sesengguhnya himpunan esok tidak ada satu pun agenda lain, cuma ada satu matlamat itu sahaja, nak serah memorandum, tak ada unsur politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Ismail tidak menolak himpunan yang dinamakan “Himpunan Umat Islam, Himpunan Aman Mendesak Penyebaran Bible di kalangan Umat Islam” mempunyai agenda lain.

Tambah Ismail, ini kerana kumpulan tersebut tidak mahu berjumpa dengannya mengikut waktu yang ditetapkan iaitu esok, pada sebelah petang.

Sebaliknya kumpulan itu ingin berhimpun di hadapan pejabatnya pada waktu pagi ketika ketiadaannya.
Harap wakil exco ambil memorandum

Mengulas lanjut, Azhaar berkata ketika perhimpunan dibuat, mana-mana wakil dari Ismail boleh turun dan mengambil memorandum tersebut.

“Kami matlamat nak serah memorandum bukan nak jumpa dia (Ismail), benda ni jadi dalam Malaysia banyak kali dah, di parlimen wakil dia ambil, di pejabat Agong, wakil dia ambil.

“Wakil Ismail boleh ambil bagi pihak dia,” katanya.

Melalui hebahan di Facebook Skuad Badar, kumpulan berkenaan menyeru orang ramai untuk berkumpul di hadapan Wisma Negeri Kedah jam 9 pagi dengan memakai baju hitam.

Selain itu, jemputan berkenaan juga turut disertai gambar Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor Ustaz Zamri Zainuldin, Pengasas NGO Alif Ba Ta Srikandi Masyhur Wan Asshima Kamaruddin dan NGO Semboyan 1 Malaysia Yusuf Azmi.

Isu berkenaan timbul apabila pada 9 Nov lalu, dalam kejadian jam 3 pagi, empat individu dilihat mengedar Bible dalam bahasa Inggeris dan Tamil di kawasan perumahan Melayu di Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda.

Kes berkenaan kini dalam siasatan polis.


Tiada ulasan: