Perwakilan
Kedah, Datuk Zulkifli Mohamad berbahas pada Kongres Nasional Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam,
Selangor. foto HAZROL ZAINAL
SHAH ALAM – PKR jangan jadi macam laksa, banyak bahan tetapi tidak
sedap dimakan, tegas pembahas dari Kedah, Datuk Zulkifli Mohamad.
Beliau yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyokong Ucapan
Dasar Presiden PKR hari ini berkata, begitu juga dengan kerajaan
Pakatan Harapan (PH) berjanji 60 perkara, tetap pelbagai alasan
digunakan apabila gagal mengotakan janji.
Ucapan beliau yang mendapat tepukan gemuruh para perwakilan turut
menjelaskan kepada kepimpinan PKR dan kerajaan PH umumnya, pemimpin akar
umbi hilang hala tuju apabila berdepan dengan desakan rakyat,
“Sebanyak 60 janji ditaburkan dalam Manifesto PH. Rakyat
tertunggu-tunggu janji itu. Bila kita di kalangan pemimpin akar umbi
tanya, pimpinan atasan memberi alasan hutang tak habis lagi, hutang tak
habis lagi.
“Mampuih (mampus) kita di kampung nak beri penjelasan pada rakyat.
Menteri, Timbalan menteri tak apalah, duk pulun (dapat) gaji puluh ribu
sebulan, mereka tak berdepan dengan rakyat.
“Kita hak bawah ni nak jawab apa pada nelayan, pekebun getah, petani
dan pekerja kilang yang elaun mereka dipotong,” katanya pada sesi
perbahasan usul menyokong Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Keadilan
Nasional di Pusat Konvensyen Idea Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.
Zulkifli merayu, jika kerajaan PH tidak dapat tunaikan 10 daripada 60
janji itu, kotakan enam atau tujuh janji pun sudah memadai di awal
tempoh mengambil alih kerajaan Persekutuan ini.
Katanya, pemimpin perlu ingat, kerana rakyatlah mereka dapat memegang
jawatan tinggi dalam kerajaan dan disebabkan undi mereka juga pemimpin
PH menerima gaji antara RM50,000 ke RM60,000 sebulan.
“Tangan merekalah yang undi kita, yang beri gaji pada kita RM50,000, RM60,000 sebulan
“Ambillah kisah akan suara dan penderitaan rakyat seperti petani dan
nelayan. Bertindaklah segera sebagaimana usul Ahli Parlimen Port
Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulas mengenai nasib golongan
itu di Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya.
Beliau turut meminta team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan team
Rafizi Ramli bersatu demi pengukuhan parti serta melupakan persengketaan
yang berlaku sepanjang tempoh pemilihan PKR baru-baru ini.
“Cantum semula team AA (Azmin Ali) dan team RR (Rafizi Ramli),” katanya
Sementara itu, perwakilan dari Sabah, Mohd Amin Min menuntut dua
perkara dari kerajaan Persekutuan PH, iaitu kembalikan 20 peratus
royalti minyak dan 40 peratus cukai kepada negeri itu serta Sarawak. Perwakilan
Sabah, Mohd Amin Min berbahas pada Kongres Nasional Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL
Beliau berkata, biar kerajaan Sabah sendiri menguruskan pembangunan
fizikal di negeri itu dengan perolehan dari royalti dan cukai.
Katanya, masalah yang dihadapi rakyat kedua-dua negeri berkenaan yang
tidak pernah selesai ialah rangkaian jalan raya yang baik menghubungkan
mereka ke satu-satu tempat.
“Pembangunan fizikal ini perlukan perhatian dan pembelaan. Masalah
jalan raya yang menghubungkan rakyat, bekalan elektrik dan air bersih
adalah masalah utama yang dihadapi sejak kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kita harapkan apabila PH sudah mengambil alih Sabah, masalah ini
akan dapat diselesaikan, bukan jadi seperti kerajaan BN yang terdahulu,”
katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan