KUANTAN - Menteri Kerja Raya, Baru Bian menafikan beliau memboikot Kongres Nasional PKR ke-13 sehingga diberi amaran oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baru berkata, beliau melalui Setiausaha Politiknya, Zakaria Abdul Hamid memaklumkan ketidakhadirannya kepada Sekretariat Kongres PKR kerana mempunyai urusan kerja di  Ipoh, Perak semalam dan di sini, malam tadi.

Menurutnya, beliau berada di Ipoh untuk merasmikan majlis penutupan Sukan Kementerian Kerja Raya.

"Hari ini saya di Kuantan untuk mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur dan  Majlis Anugerah Kewartawanan Lebuhraya Pantai Timur 2018 malam ini," katanya.

Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak itu berkata,  sebagai menteri pusat berbeza  jawatan dalam politik.

"Sebagai menteri saya ada tanggungjawab yang harus dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas majlis AKLPT18 di sini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Baru Bian makan patin tempoyak, tak hadir Kongres PKR!]