Jumaat, 7 September 2018

Pusat swasta sambut baik cadangan pindah pesakit hospital awam



BUTTERWORTH: Satu penyedia penjagaaan kesihatan swasta mengalu-alukan cadangan mengurangkan kesesakan di hospital awam dengan memindahkan pesakit ke hospital swasta, tetapi kerajaan perlu pastikan pembayaran yang adil untuk pemindahan seperti itu.

Pengarah Urusan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Sunway Lau Beng Long berkata satu pakatan antara sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta akan saling beri manfaat dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata satu skim untuk memindahkan kes daripada hospital awam ke swasta boleh diutarakan, dan fi ditetapkan dalam perbincangan antara Kementerian Kesihatan dan penyedia penjagaan kesihatan swasta.

Satu kadar pra-rundingan boleh dicapai di mana kerajaan mensubsidikan kebanyakan kos manakala baki ditanggung oleh pesakit, mungkin melalui perlindungan insurans, katanya.

Walaupun tidak mudah menentukan kadar yang ideal, Lau menganggarkan ia antara kadar pasaran semasa di hospital swasta dan kadar yang ditawarkan institusi kerajaan.

“Misalnya anda menjalani operasi katarak pada harga RM100 di hospital kerajaan. Jika di hospital swasta, ia mungkin mencecah, katakan, RM6,000.

“Jadi kementerian perlu mencari angka kompromi, yang boleh ditanggung oleh pesakit melalui skim insurans kesihatan sukarela.

“Sama ada ia diskaun 30% atau 50% dari kadar pasaran, itu antara kementerian dan Persatuan Hospital-Hospital Swasta.

“Fi haruslah adil untuk memampasi sektor swasta dan memastikan mereka tidak kerugian. Secara idealnya, kerajaan patut beri subsidi yang wajar untuk merujuk kes-kes seperti itu ke hospital swasta,” katanya pada sidang media di Seberang Jaya hari ini.

Lau berkata kelebihan menggunakan hospital swasta untuk menangani masalah kesesakan di hospital swasta ialah ketersediaan katil.

Beliau berkata kebanyakan hospital swasta ada lebihan katil serta teknologi perubatan terkini yang mungkin terlalu mahal untuk diperolehi kerajaan, serta kakitangan terbaik.

“Ada ramai pakar-pakar berpengalaman yang meletak jawatan dan sekarang ini sedang berkhidmat di hospital swasta. Kerajaan boleh memanfaatkan mereka.

“Oleh itu, kes-kes rumit boleh dirawat dan doktor-doktor baru boleh dilatih oleh pakar-pakar itu.”

Beliau berkata doktor-doktor dengan kepakaran yang sangat khusus di hospital-hospital kerajaan juga akan memberi manfaat kepada hospital swasta dan memanfaatkan peralatan terkini.

“Perkongsian sumber ini akan memberi manfaat kepada sistem penjagaan kesihatan,” tambahnya.

Pakatan antara sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta dicadangkan oleh bekas ketua pengarah kesihatan Dr Mohd Ismail Merican untuk mengurangkan kesesakan dan mengoptimakan perkongsian sumber.

Di satu wacana di Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen 1 Ogos lepas, dia berkata terdapat ketidakseimbangan antara sumber dan beban kerja antara sektor awam dan swasta.

Beliau berkata sektor awam mengendalikan 60% penjagaan kesihatan umum manakala sektor swasta pula 23%.

Tiada ulasan: