Isnin, 16 April 2018

PPBM umum calon Parlimen, DUN Melaka dan WP

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PPBM hari ini mengumumkan bertanding di dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN di Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Dua kerusi Parlimen itu adalah Masjid Tanah dan Alor Gajah.
 
Kerusi-kerusi DUN pula ialah Ayer Limau, Lendu, Asahan, Paya Rumput, Telok Mas, dan Sungai Rambai.
 
Pengumuman itu dibuat PPBM dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.  
 
Calon-calon kerusi Parlimen yang diletakkan adalah, Ketua Biro Perundangan Masjid Tanah Datuk Dr Sabirin Ja'afar bertanding di Masjid Tanah dan Pengerusi Negeri Melaka Mohd Redzuan Md Yusof di kerusi Parlimen Alor Gajah.
 
Bagi DUN pula, Ketua Bahagian Alor Gajah Zamzuri Arifin bertanding di DUN Asahan, Naib Ketua Bahagian Masjid Tanah Ir Ridhuan Affandi Abu Bakar (Lendu), Ruslin Hasan (Ayer Limau), Ketua Bahagian Tangga Batu Mohd Rafiq Naizamohideen di DUN Paya Rumput, Ketua Bahagian Kota Melaka Noor Effandi Ahmad (Telok Mas), dan Ketua Srikandi Jasin Azalina Abdul Rahman (Sg Rambai).
 
Sementara itu, bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pula, PPBM mempertaruhkan calonnya di dua kerusi iaitu di Titiwangsa dan Putrajaya.
 
Ahli akademik Datuk Dr Samsu Adabi Mamat dipilih sebagai calon bagi kerusi Parlimen Putrajaya, berdepan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang buat kali ketiga berturut-turut mengekalkan kerusi Parlimen P125 Putrajaya untuk Barisan Nasional (BN).
 
Manakala, Ketua Srikandi PPBM Rina Harun ditempatkan di kerusi Parlimen Titiwangsa. 
 
Kerusi berkenaan kini disandang Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga dari BN menewaskan calon PAS Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dengan majoriti 866 undi pada PRU13.
 
Pengumuman tersebut dijangka menyaksikan pertarungan tiga penjuru di kerusi Parlimen Putrajaya dan Titiwangsa memandangkan PAS sebelum ini mengumumkan untuk bertanding di kedua-dua kerusi.
 
 

Tiada ulasan: