Selasa, 12 Disember 2017

SPRM lanjutkan reman bekas ketua polis daerah di Perak

 
Penyiasat SPRM menggeledah rumah pegawai polis berkenaan sebelum menemukan wang tunai hampir RM1 juta dan barang kemas di dalam kotak kasut serta peti besi.


reman-perak

IPOH: Tempoh tahanan reman ke atas seorang bekas ketua polis daerah di Perak serta isteri dan seorang ahli perniagaan wanita dilanjutkan 4 hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah laku.

Permohonan lanjutan tempoh reman ke atas pegawai lelaki berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) serta 2 wanita itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaludin.

Tempoh reman 5 hari ke atas ketiga-tiga individu berkenaan sejak 8 Disember lalu tamat hari ini.

Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi kemudian membenarkan ketiga-tiga individu tersebut disambung reman sehingga Sabtu ini (16 Disember) bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009.

Pegawai polis yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta isteri diwakili peguam Ashok Athimulan, manakala ahli perniagaan itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pegawai polis berumur 59 tahun, isterinya, 54, dan ahli perniagaan, 34, dibawa ke kompleks mahkamah pada jam 11.00 pagi oleh pegawai SPRM berpakaian lokap SPRM serta bergari bagi mendapatkan perintah lanjutan reman.

Ketiga-tiga individu terbabit ditahan 7 Disember lalu semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak kira-kira pukul 7.30 malam.

Susulan tangkapan itu, pasukan penyiasat SPRM melakukan penggeledahan di rumah pegawai polis berkenaan sebelum menemukan wang tunai hampir RM1 juta dan barang kemas di dalam kotak kasut serta peti besi.

Menurut SPRM, ahli perniagaan itu disyaki mempunyai kepentingan dengan pegawai polis berkenaan ketika berkhidmat sebagai ketua polis daerah dan dipercayai wanita berkenaan memberikan RM70,000 untuk majlis perkahwinan anak pegawai itu pada Februari lalu.

Tiada ulasan: