KUALA LUMPUR
— Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bertegas dan memberi
amaran akan bertindak menukar mana-mana anggota dan pegawai polis
termasuk ketua polis negeri yang terbabit dalam melindungi kegiatan
pusat perjudian.
Beliau
yang bertekad untuk menghapuskan kegiatan judi di seluruh negara berkata
akan mengambil tindakan tegas serta tidak akan sama sekali berkompromi
dalam isu berkenaan.
“Jika saya
terpaksa tukar ketua polis negeri (dalam usaha perangi pusat judi),
saya akan tukarkan mereka dan saya tidak teragak-agak mengambil tindakan
kepada mereka yang berselindung dalam perkara ini (judi).
“Ramai
(anggota polis) yang berlakon pun ada, main wayang pun ada malah banyak
pihak ambil kesempatan terhadap isu ini,” katanya ketika berucap pada
program ‘Breakfast Talk Integrity’ di Pusat Latihan Polis di sini, hari
ini.
Mohamad
Fuzi yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-11 pada 4 September
lepas, menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara, berkata fokus
memerangi judi, jenayah bersindiket dan gangsterisme adalah antara
empat tumpuan PDRM yang sedang giat dijalankan ketika ini.
Pada 27 September lepas, PDRM menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau kegiatan sindiket judi haram di negara ini.
Jawatankuasa
berkenaan diketuai Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid
Ibrahim ditubuhkan bagi menangani dan menghapuskan premis-premis judi
yang didapati semakin berleluasa di seluruh negara.
Selain
itu, Mohamad Fuzi berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard
(JIPS) yang ditubuhkan pada 2014 akan terus aktif bagi meningkatkan
reputasi PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang terulung negara.
“Penubuhan
JIPS memfokus ke arah pemantapan integriti pasukan demi mempertingkat
imej PDRM yang bertujuan mengubah kedudukan PDRM daripada ‘agensi yang
berisiko tinggi untuk terlibat salah laku’.
“Bagi
menjamin kualiti perkhidmatan terutamanya barisan hadapan, JIPS
menjalankan pemeriksaan integriti dari semasa ke semasa sebagai langkah
proaktif JIPS memastikan setiap warga PDRM mematuhi segala arahan dan
peraturan yang ditetapkan secara berintegriti,” katanya.
Turut
hadir pada program itu ialah Noor Rashid, Ketua Pengarah Imigresen Datuk
Seri Mustafar Ali dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan