Ahad, 22 Oktober 2017

PAS Akan Adakan H12K Pada 28 Oktober

DETIK DAILY




PAS akan mengadakan Himpunan 12,000 (H12K) di Kompleks PAS Kedah pada 28 Oktober ini yang akan melibatkan kehadiran 12,000 petugas jentera parti itu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia merupakan perhimpunan kedua terbesar yang diadakan selepas Muktamar PAS 2017 lalu.

“Ia juga merupakan peluang untuk memberi suntikan semangat kepada petugas jentera untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum," katanya pada sidang media di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata PAS tidak mengetahui kehadiran tiga wakil rakyat daripada parti itu pada Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara hari ini.

"Tindakan mereka itu sedikit pun tidak memberi impak kepada PAS. Tetapi demi kebaikan parti, saya minta mereka perjelaskan tentang tindakan mereka hadir pada program tersebut. Berhubung tindakan susulan terhadap mereka pula, biar peringkat pusat yang tentukan nanti," katanya.

Tiga wakil rakyat itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Aminuddin Hamzah dan Adun Kubang Rotan Mohd Nasir Mustaffa yang hadir pada sesi penyampaian pidato bersempena konvensyen itu oleh presiden Amanah merangkap Timbalan Presiden Pakatan Harapan Mohamad Sabu.

Ketika ditemui pemberita, Mahfuz berkata beliau masih dalam PAS namun kehadirannya pada konvensyen itu hanya untuk memberikan mesej kepada PAS bahawa dirinya tidak memulau parti lain dengan boleh menyokong Pakatan Harapan.

Sementara itu, Aminuddin berkata beliau menghadirkan diri ke konvensyen itu sebagai tanda sokongan peribadinya kepada Amanah dalam usaha parti berkenaan bersama Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya umum.

Mohd Nasir pula berkata beliau memberikan sokongan kepada semua parti yang akan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU14  nanti.

"Soal peribadi tidak penting, hati saya masih bersama PAS dan saya masih berkhidmat sebagai Adun PAS," katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: