Oleh Afiqah Mat Rozi
SHAH ALAM: Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menarik peserta ke
himpunan anjuran mereka di Padang Timur, Sabtu lalu, adalah kerana PAS
tidak lagi menjadi sebahagian daripada gagasan pembangkang itu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor berkata sebelum
terbarainya Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PAS bersama DAP dan PKR,
himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk
menyertainya.
"PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi
ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli
PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat
sivil yang lain.
"PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya,
daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah
Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat," katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Menurut Riduan, tempoh kempen dan mobilisasi untuk menggerak seluruh
penyokong PH untuk berhimpun selama lebih tiga bulan adalah tempoh yang
memadai.
"Jika tempoh yang sama digerakkan oleh pasukan mobilisasi PAS,
sebagaimana terbukti sebelum ini maka 270,000 hingga 300,000 ahli akan
berhimpun seperti himpunan H355 dan FASTAQIM 2.0," ujarnya merujuk
kepada himpunan gergasi PAS yang berlangsung di Pantai Tok Jembal, dua
minggu lalu.
Riduan turut mendakwa kegagalan himpunan itu juga satu cerminan bahawa
PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti untuk menjulang
tema 'Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' yang dipilih mereka.
"(Tun Dr) Mahathir dan alumni Umnonya mempunyai bagasi sejarah silam
yang tak mampu dipadamkan dengan apa jua serbuk penyental.
"Mereka daripada pasukan perampok negara dengan pelbagai skandal
kewangan semasa di koridor kuasa. Mereka 'acah-acah suci' untuk menolak
kebobrokan pemerintahan (Datuk Seri) Najib dan rakyat yang pernah
menderita di zaman demokrasi terpimpin Dr Mahathir tak mudah melupakan
senarai panjang kezaliman dan salah guna kuasa," katanya.
Ujarnya juga, kurangnya anak muda dalam himpunan anti-kleptokrasi
tersebut kerana kegagalan sayap pemuda PH sendiri dalam menarik golongan
di bawah usia 40 tahun itu.
"Sangat kontradik dengan himpunan FASTAQIM 2.0 dua minggu yang lepas di
Tok Jembal, lebih 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latar
belakang.
"Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak
muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan
himpunan,"kata beliau.
Tambahnya juga, kehambaran himpunan itu turut disebabkan kelemahan
dalam menyusun serta menggembleng sokongan NGO dan ketiadaan jentera
akar umbi gabungan itu sendiri.
"Selama ini jentera pilihan raya PR disandarkan pada PAS, petugas PAS
diatas nama arahan jamaah dan sikap setiakawan telah membantu rakan
komponen PR.
"Kali ini jentera PAS tidak perlu memikul biawak hidup lagi, mereka
boleh menghela nafas lega sambil berzikir mengingati Allah," katanya
lagi.
Himpunan 'Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' anjuran PH bertempat
di padang Timur pada Sabtu lalu, hanya mencatatkan kehadiran tidak
kurang 10,000 peserta, kira-kira 10 peratus daripada angka sasaran yang
diumumkan sebelum ini.
Bagaimana Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan jumlah kehadiran peserta perhimpunan sekitar 4,000 orang.
Himpunan itu membariskan beberapa tokoh terkenal pembangkang termasuk
Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad
Sabu, Lim Kit Siang dan lain-lain.
Ia adalah himpunan kemuncak selepas gabungan itu mengadakan siri
jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat
berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ucapan pemimpin-pemimpin pembangkang pada malam tadi juga banyak
mengitar semula tuduhan-tuduhannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak.
Najib sebelum ini menegaskan di pihaknya tidak ada salah laku yang
berlaku dan beliau sendiri mengarahkan Parlimen dan pihak yang berkenaan
menyiasat kemelut kewangan 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan