Isnin, 23 Oktober 2017

Keputusan kes bunuh pengasas AmBank diketahui Jumaat ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Oktober ini untuk keputusan kes seorang penarik kereta yang berdepan pertuduhan membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi dan cuba membunuh isterinya 4 tahun lepas.
 
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Datuk Michael K L Chee di akhir kes pembelaan.
 
Koong Swee Kwan, 48, didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara 1.30 tengah hari dan 2.00 petang pada 29 Julai 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati mandatori.
 
Koong juga berdepan pertuduhan cubaan membunuh Cheong Mei Kuen, 50, di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
 
Pada 5 September 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Koong atas tuduhan membunuh Hussain dan hukuman penjara 18 tahun kerana didapati bersalah cuba membunuh Cheong.
 
Bagaimanapun pada 14 Disember 2016, panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin mengetepikan sabitan dan hukuman gantung sampai mati terhadap Koong dan memerintahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.
 
Dalam kejadian itu, Hussain maut manakala isterinya cedera parah setelah ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah.
 
 

Tiada ulasan: