PASIR GUDANG: Seorang remaja cedera parah akibat ditetak gara-gara
tindakannya menegur dua lelaki yang memasang muzik kuat daripada
pembesar suara kereta di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam di sini,
awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata
dalam kejadian kira-kira jam 2.05 pagi, remaja yang berusia 17 tahun itu
diserang kira-kira 15 lelaki di kawasan perumahan itu.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur dan
menasihati dua suspek memasang lagu dan muzik dengan kuat menggunakan
pembesar suara kereta mereka yang di parkir di kawasan flat.
"Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil
sebelum sekumpulan suspek lain iaitu rakan kepada dua suspek yang awal
datang menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal.
"Sekumpulan lelaki kira-kira 15 orang mengerumuni mangsa. Beberapa
suspek membawa parang dan pisau menyerang mangsa menyebabkan kecederaan
parah di bahagian belakang badan dan kepala," katanya dipetik Berita
Harian.
Jokhiri berkata, semua suspek dipercayai bukan penghuni di kawasan flat berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang cedera parah dihantar dan dirawat di Hospital
Sultan Ismail (HSI) dan kini di bawah pengawasan rapi pihak hospital.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan
senjata) dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah
dengan senjata)," katanya.
Katanya, sehingga ini belum ada tangkapan dan pihak polis sedang giat memburu suspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan