GEORGE TOWN: Peletakan jawatan Zairil Khir Johari sebagai presiden
Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) tidak diterima barisan
kepimpinannya.
Timbalan Presiden FAP Datuk Gary Nair berkata, keputusan sebulat suara
itu selepas mengambil kira aspek pengurusan dan pentadbiran FAP dalam
keadaan tidak menentu.
Sambil menyifatkan, keputusan Zairil meletak jawatan dua hari lalu, sebagai tindakan tergesa-gesa.
“Hari ini kami adakan mesyuarat dan bertanyakan pendapat semua anggota
majlis FAP. Kami semua sebulat suara tidak menerima peletakan jawatan
Zairil sebagai presiden.
“Kita dah tubuhkan sebuah jawatankuasa kecil untuk berjumpa dan memujuk Zairil untuk kekal sehingga penghujung musim.
“Kita juga ada kekangan kewangan, di mana kita nak cari duit. Kami tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.
“Anggota majlis sudah bersetuju untuk meminta Zairil tunggu
sekurang-kurangnya sampai AGM (mesyuarat agung tahunan) November ini.
“Selepas itu, siapa nak jadi presiden terpulang kepada FAP untuk
tentukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu, di sini
malam tadi.
Selasa lepas, Zairil mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa
serta-merta selepas pasukan Liga Super Pulau Pinang tersingkir ke
saingan Liga Perdana musim depan.
Zairil berkata beliau selaku presiden FAP mengambil tanggungjawab penuh
terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang untuk kekal di Liga Super
dengan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Berbaki satu perlawanan sebelum Liga Malaysia 2017 berakhir, Pulau
Pinang hanya mengumpul 12 mata daripada 21 perlawanan dan kini menduduki
tangga tercorot liga.
Gary berkata pihaknya akan berjumpa dengan Zairil dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara tersebut.
“Kami juga akan berjumpa Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam masa terdekat. Kami mahu selesaikan perkara ini dengan elok.
“Kita boleh berbincang untuk tentukan hala tuju pasukan bola sepak Pulau Pinang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan