Rabu, 11 Oktober 2017

Dobi mesra Muslim: Zamihan mohon maaf kepada Sultan Johor, mahu saman media 'berniat jahat'

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) Malaysia, Zamihan Mat Zin hari ini memberi tempoh selama tujuh hari kepada portal Free Malaysia  Today (FMT), Malay Mail Online (MMO), New Straits Times Press (NSTP) dan Datuk Zaid Ibrahim untuk menarik balik artikel dan tuduhan liar terhadapnya.
 
Menerusi satu kenyataan di Facebook beliau, Zamihan juga menuntut pihak berkenaan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepadanya atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.
 
Ia susulan laporan media semalam mengenai ceramahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam, Ahad lalu, yang dikatakan menyelar kenyataan Sultan Johor berkaitan isu dobi mesra muslim.
 
Zamihan berkata, portal berkenaan mempunyai niat buruk yang bertujuan mengeruhkan 'hubungan antara agamawan dan Istana' berhubung isu dobi muslim, selain didakwa mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini.
 
"Dalam rakaman video yang kononnya dijadikan rujukan FMT, saya sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Saya juga tidak menggunakan perkataan yang kasar, kesat atau sebarang elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan.
 
"Sebenarnya tajuk artikel yang direka cipta oleh portal FMT jelas berniat jahat bagi menyerang dan memburukkan imej saya selaku Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja). Ini bukanlah kali pertama FMT dan sekutunya mengeluarkan artikel yang cuba membunuh karekter saya.
 
"Paling ketara, niat jahat FMT terserlah apabila mereka secara jelas mengaitkan jawatan saya sebagai Pegawai JAKIM dalam artikel berkenaan," katanya dalam kenyataan berkenaan. 
 
Jelas Zamihan, beliau berceramah atas kapasiti sebagai  Presiden Aswaja dan tiada kaitan dengan JAKIM kerana tidak lagi berkhidmat dengan jabatan itu sejak 13 tahun lalu.
 
Beliau bagaimanapun turut memohon maaf kepada Sultan Johor jika baginda terasa hati dengan salah faham yang timbul.
 
"Saya juga bersedia mengadap Tuanku Sultan bila-bila masa saja dari sekarang jika diperkenankan DYMM Tuanku untuk memperjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf secara berdepan dari hati ke hati," katanya.
 
Malah Zamihan juga menyatakan kesediaannya jika pihak berkuasa ingit menjalankan siasatan ke atas beliau susulan ceramahnya itu. 
 
"Saya juga mengesa pihak berkuasa agar menyiasat artikel yang disiarkan FMT, MMO dan NSTP yang jelas berbaur hasutan dan cuba menimbulkan kebencian antara agama serta mencetuskan permusuhan rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya.
 
Dalam satu ceramah pada Ahad lalu, Zamihan dilaporkan mengkritik tindakan Sultan Johor yang campur tangan dalam isu dobi itu, selain turut  menggelarkan orang China sebagai “tidak bersih”.
 
“Ada Sultan kata dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta, ini bukan Afghanistan, negeri Taliban. Tak patut Tuanku Sultan cakap macam tu. Patut dobi mesra Muslim ni adalah menunjukkan orang Islam ini mementingkan nilai suci lagi menyucikan,” petik ucapannya ketika ceramah di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam. 
 
Kontroversi 'dobi mesra Muslim' timbul selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Sultan Iskandar mengkritik pengusahanya kerana melaksanakan dasar 'memalukan'.
 
Baginda mengarahkan kedai dobi itu supaya menghentikan operasi atau berdepan dengan risiko ditutup.
 
Titah baginda, tindakan pemilik kedai dobi itu tidak boleh diterima oleh sebuah negeri yang diduduki pelbagai kaum dan agama yang mengamalkan kesederhanaan dan toleransi.  


Tiada ulasan: