Sabtu, 22 Oktober 2016

Tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat dibimbangi jadi amalan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan seorang ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar keluar Dewan Rakyat ketika sesi pembentangan Bajet 2017 dikhuatiri bakal menjadi amalan, yang jelas membayangkan betapa wakil rakyat ini tidak lagi menghormati sistem berparlimen, ujar penganalisis politik, Datuk Dr Firdaus Abdullah.
 
Ujarnya, ahli Parlimen pembangkang berbuat demikian dalam keadaan sedar bahawa mereka punya peluang ketika sesi perbahasan kelak, untuk menegur, mengkritik atau meluahkan kekecewaan terhadap Bajet 2017 yang didakwa tidak telus dan tidak realistik. 
 
"Benar mereka boleh meluahkan bantahan mereka dalam perdebatan. Namun perkara yang akan mereka bentangkan dalam perdebatan itu lebih banyak merujuk kepada kandungan Bajet 2017. Sedangkan apa yang hendak mereka capai dengan berbuat perkara yang tidak patut mereka lakukan itu, adalah untuk merakamkan rasa kecewa. 
 
"Pada saya, memang tidak wajar melakukan perkara seperti itu. Bagaimanapun, saya berharap ini akan menjadi satu isyarat kepada kerajaan memerintah, bahawa sudah ada gejala-gejala untuk tidak menghargai dan menghormati peraturan tatatertib," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Firdaus berkata, kerajaan perlu memikirkan pendekatan terbaik untuk menangani sikap wakil rakyat pembangkang pada masa akan datang agar tidak mengulangi tindakan sebegitu yang padanya amat tidak menghormati kemuliaan Dewan Rakyat.
 
"Saya takut keadaan itu akan menimbulkan suasana kacau-bilau yang lebih dasyat. Bak kata pepatah, lurus jarum, lurus kelindan. Maka usaha menghalang mereka berbuat begitu harus dilakukan pihak kerajaan," ujarnya. 
 
"Pernah berlaku di Korea dimana adanya tindakan keganasan dari kalangan ahli-ahli parlimen. Kita tidak mahu berlaku di Malaysia," gesanya lagi.
 
Firdaus berkata demikian mengulas tindakan protes pembangkang dengan meninggalkan Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017.
 
Ketegangan yang berlaku kira-kira jam 5.50 petang semalam itu bermula selepas Najib berkata pembangkang kerap kali melemparkan tuduhan kepada kerajaan Pesekutuan kononnya Malaysia sedang bergelut dengan ekonomi yang menekan.
 
Pembangkang juga mendakwa kerajaan Persekutuan bermain sandiwara dalam isu melibatkan ekonomi negara.
 
Najib kemudiannya bertanyakan kepada ahli Parlimen pembangkang 'siapa sebenarnya yang bersandiwara?'
 
Soalan Najib itu disambut dengan kekecohan di kalangan ahli Parlimen pembangkang sehingga mereka ditegur Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
Mereka kemudiannya bertindak bangun dan meninggalkan dewan.
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui media di luar Dewan Rakyat berkata tindakan sedemikian diambil berikutan pembentangan belanjawan itu tidak telus.
 
Dalam pada itu, Firdaus berpandangan Bajet 2017 itu tidak merangkumi keperluan untuk golongan akademik sedangkan ia juga perlu diutamakan dalam memacu pembangunan dan kemajuan masyarakat dan negara.
 
"Keluh-kesah di kalangan masyarakat akademik bahawa seakan-akan kami diabaikan. Ramai profesor tidak disambung kontrak, profesor senior yang patut dikekalkan perkhidmatan sudah dihentikan. 
 
"Saya merasa kecewa kerana Bajet 2017 seperti kurang memerhatikan kepentingan pendidikan terutama pendidikan tinggi dan sosial sains," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: