Khamis, 20 Oktober 2016

SPRM tahan 19 pegawai kanan, rampas RM4.2 juta

SINAR HARIAN
SPRM
SPRM


KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 19 pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di negeri ini yang merupakan Ketua Bahagian dan Daerah bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kesemua suspek lelaki yang berumur antara 29 hingga 59 tahun itu ditahan dalam operasi fasa kedua susulan operasi pertama pada 4 Oktober lalu.

Katanya operasi berkenaan dilancarkan berikutan penemuan maklumat tambahan dan bukti yang diperoleh hasil keterangan mereka yang diambil sebelum ini serta analisis dokumen-dokumen yang dirampas.

"Dalam operasi yang dijalankan serentak di 27 lokasi melibatkan agensi kerajaan berkenaan di peringkat bahagian dan daerah di seluruh Sabah pada 19 Oktober (semalam) itu, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM4.2 juta daripada beberapa suspek.

"SPRM turut membekukan beberapa akaun bank yang mempunyai wang berjumlah kira-kira RM3.6 juta milik beberapa orang suspek tersebut," kata Azam dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azam berkata, siasatan awal mendapati Ketua Bahagian dan Daerah berkenaan telah membuat kutipan antara 27 hingga 30 peratus jumlah nilai projek agensi kerajaan berkenaan daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan kerja sebut harga dan kerja-kerja kecemasan jabatan itu di seluruh Sabah.

Menurutnya pelbagai dokumen perolehan dan tuntutan juga telah dirampas dalam operasi tersebut dan sehingga kini pegawai-pegawai SPRM masih meneliti kesemua dokumen berkenaan bagi tujuan pengumpulan bukti.

SPRM memohon perintah reman terhadap kesemua mereka di empat mahkamah di Sabah dan daripada 19 pegawai yang ditahan itu, 18 orang direman manakala seorang lagi dibebaskan.

Seramai 14 direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu; tiga individu selama empat hari di Mahkamah Majistret Tawau dan seorang selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Sandakan, katanya.

"SPRM juga ingin menegaskan bahawa siasatan kes ini hanya menjurus kepada penglibatan pegawai-pegawai kerajaan yang menerima rasuah serta penyalahgunaan kuasa dan setakat ini ia tidak melibatkan mana-mana ahli politik sama ada di peringkat negeri Sabah atau kerajaan persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, Azam berkata, SPRM meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan isu ini atau mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM bagi kepentingan masing-masing.

Katanya kes berkenaan melibatkan sejumlah dokumen perolehan yang banyak dan pegawai SPRM kini sedang meneliti semua dokumen yang dirampas serta memerlukan masa bagi menyelesaikan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"SPRM memandang serius perkara ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan dengan telus dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak," katanya.

Azam juga meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana ia boleh menjejaskan siasatan.

Katanya SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu siasatan.

Pada 4 Oktober lalu, SPRM menahan empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur berkenaan.
Bagaimanapun, keempat-empat suspek berkenaan dibebaskan dengan masing-masing dikenakan ikat jamin antara RM50,000 dan RM500,000 dengan dua penjamin. – Bernama

Tiada ulasan: