Khamis, 6 Oktober 2016

SPRM kenal pasti lebih 40 saksi bantu siasatan .

SPRM
Sebahagian wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM50 juta yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dirampas ketika sidang media mengenai kes salahguna kuasa membabitkan empat lelaki, termasuk pegawai berjawatan pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri. - Foto Bernama
 
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mengenal pasti lebih 40 saksi bagi membantu siasatan dan akan memanggil mereka dalam masa terdekat.

Sumber SPRM berkata, saksi adalah mereka yang ada kaitan secara langsung dalam proses pemberian kerja-kerja kepada syarikat terlibat.

“Kebanyakan mereka adalah di kalangan kakitangan jabatan itu dan juga kontraktor-kontraktor.

"Selain itu, SPRM telah merakam percakapan enam individu yang dipercayai dapat membantu siasatan.

“Kesemua ahli keluarga suspek memberikan kerjasama mereka dan akan dipanggil kami dalam masa terdekat ini,” katanya.

Selain itu, SPRM juga telah membuka semua tujuh peti besi milik timbalan pengarah itu di beberapa bank di Kota Kinabalu yang mempunyai barangan kemas dan wang tunai.

SPRM dijangka akan memanggil pengusaha kedai pajak gadai esok untuk menilai semua barang kemas yang telah dirampas.

Semalam, SPRM menahan dua pegawai kanan kerajaan di Sabah kerana memiliki kekayaan luar kemampuan di mana nilai rampasan dianggarkan RM115 juta.

Dua penjawat awam berkenaan memegang jawatan pengarah (J54) dan timbalan pengarah (J52) sebuah agensi kerajaan kira-kira jam 9.15 pagi di pejabat masing-masing di Kota Kinabalu.

Kedua-duanya mereka mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak tahun 2010 itu dipercayai memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Hasil siasatan, SPRM telah merampas wang tunai lebih kurang RM53 juta daripada kedua-dua suspek tersebut.

Ia melibatkan wang berjumlah RM45 juta daripada pengarah terbabit manakala RM7.2 juta daripada timbalan pengarah tersebut.

Kesemua rampasan itu dibuat di pejabat dan rumah masing-masing.

Susulan penahanan tersebut, SPRM turut menahan dua lagi individu termasuk adik kepada timbalan pengarah terbabit yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 55 tahun dan akauntannya berusia 50 tahun yang dipercayai berperanan membantu untuk menyelenggarakan duit yang diperoleh secara rasuah.

“Siasatan mendapati, suspek pertama dipercayai menggunakan lebih 17 buah syarikat milik adik-beradik beliau dan juga proksi untuk menjalankan kegiatannya.

“Manakala untuk suspek kedua pula menggunakan 21 buah syarikat yang terdapat hubungan kekeluargaan dengannya,” katanya lagi.

Dalam kes ini, SPRM akan mendapatkan kerjasama negara lain menerusi 'Mutual Legal Assistance' untuk mendapatkan maklumat berhubung akaun bank yang dimiliki suspek di luar negara.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM jumpa wang tunai RM50j di rumah pegawai GLC]

Jelas sumber lagi, SPRM masih menilai dan menentukan nilai barang kemas, jam tangan dan geran tanah yang telah disita dalam serbuan semalam.

"Selain itu, anggaran nilaian 94 beg tangan pelbagai jenama yang dirampas milik salah seorang isteri suspek itu bernilai lebih kurang RM500,000.


Tiada ulasan: