Ahad, 9 Oktober 2016

Selepas Agong, Tun M serah surat kepada semua Sultan maklum Deklarasi Rakyat

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat kepada semua Raja-raja dan Yang Dipertua Negeri untuk memaklumkan usahanya menerusi Deklarasi Rakyat bagi mendesak perdana menteri meletak jawatan.
 
Memetik Sinar Harian, ujar Dr Mahathir, surat yang dihantar pada 4 Oktober lalu itu sebagai satu 'usaha' memandangkan persidangan Majlis Raja-raja bakal bersidang pada 11 Oktober akan datang. 
 
Katanya, surat itu turut memaklumkan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Alor Setar, pada 15 September lalu.
 
"Setakat ini, saya belum mendapat reaksi daripada Yang di-Pertuan Agong mengenai perjumpaan tersebut. Tetapi, oleh kerana Majlis Raja-raja akan bermesyuarat pada 11 Oktober ini, saya fikir ada baiknya kita hantar surat kepada semua raja.
 
"Ini untuk memaklumkan kepada mereka mengenai rayuan kita supaya Majlis Raja-raja ambil tindakan terhadap apa yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat," kata beliau.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga mendakwa, Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dalam perlembagaan untuk bertindak menangani masalah yang dihadapi rakyat.
 
Malah beliau juga yakin Majlis Raja-raja akan mendengar dan mempertimbangkan rayuan rakyat.
 
Namun menurut Dr Mahathir, beliau akur sekiranya usaha berkenaan tidak mendapat maklum balas positif, sekaligus membayangkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai jalan terakhir.
 
"Kita memang ada perancangan lain iaitu kita akn cuba bertanding dalam PRU14.
 
"Ini kita akan adakan satu pakatan antara parti-parti kawan supaya bertanding dalam pilihan raya secara satu lawan satu. Kalau berpecah, kita akan kalah," katanya. 


Tiada ulasan: