Khamis, 20 Oktober 2016

Selangor Agrofest 2016 sasar 50,000 pengunjung

SINAR HARIAN

Selangor Agrofest 2016


SHAH ALAM - Orang ramai dijemput menghadirkan diri dan datang beramai-ramai ke karnival Selangor Agrofest 2016 yang bermula 20 Oktober ini di Pantai Morib.
Pegawai Khas Exco Selangor, Mohd Farhan Madzlan berkata, karnival kali ini memberi kelainan berbanding karnival-karnival sebelum ini.
"Antara program menarik karnival kali ini adalah pameran dan demonstrasi teknologi tinggi pertanian 'Smart Agro'," katanya kepada Sinar Online.
Kata Mohd Farhan, penganjur menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung untuk karnival kali ini.
Karnival empat hari ini akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan majlis penutup disempurnakan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib.
Ketika karnival berlangsung, orang ramai berpeluang mendapatkan khidmat nasihat pertanian di Kaunter Khidmat Nasihat dan Informasi Pertanian.

Selain itu, rangka ikan paus yang mati terdampar di Pantai Morib suatu ketika dahulu juga dipamerkan dalam karnival kali ini.

Pengunjung juga disajikan dengan demonstrasi pasukan beruniform.

Selain melawati gerai jualan pertanian, pengunjung juga berpeluang menyertai Program Kemasyarakatan, acara Sukan Rakyat, Pesta Makan Buah-Buah Tempatan, dan cabutan bertuah.

Disamping itu, pengunjung juga disajikan dengan pertandingan memasak 'Juara Chef Selangor',
pertandingan 'freestyler rollerblade', pertandingan mewarna, pertandingan Lembu SADO dan pertandingan Aquascaping.

Sambil itu, orang ramai juga akan dihiburkan dengan personaliti tempatan kegemaran ramai, Adam Corrie dalam acara Sembang Dhuha dan Abam Bocey semasa acara Sembang Santai.

Antara personaliti lain yang akan memeriahkan Sembang Santai adalah bersama ustaz Haslin Bollywood dan Ustaz Halim Hafidz.

Untuk maklumat lanjut, bakal pengunjung boleh melayari laman Facebook Selangor Agrofest dan mengikuti hashtag #selangoragrofest2016.


Tiada ulasan: