Selasa, 25 Oktober 2016

Saya memang diktator, semua yang lain dungu, tulis Mahathir

BORHAN AHMAD
 
 
Mahathir menjawab tulisan Musa dengan penuh sarkastik.Mahathir menjawab tulisan Musa dengan penuh sarkastik.


Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku semalam bahawa beliau adalah 'diktator' semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan semua Majlis Tertinggi Umno dan Kabinet adalah 'dungu' kerana hanya beliau sahaja yang bercakap dalam mesyuarat.

"Saya setuju kesemua yang ditulis tentang saya. Sudah tentu saya adalah diktator selama 22 tahun, yang memerlukan kesemua orang patuh sepenuhnya kepada saya.

"Majlis Tertinggi Umno dan Kabinet semuanya dungu kerana hanya saya seorang saja yang bercakap. Mereka hanya tahu menganggukkan kepala dan berkata ye," tulis Mahathir penuh sindiran.

Beliau menulis demikian dalam blognya, Chedet, ketika mengulas buku bekas timbalannya Tun Musa Hitam bertajuk 'Frankly Speaking' yang antaranya mendakwa beliau adalah diktator.

Dalam tulisan itu juga, Mahathir berkata, beliau setuju sepenuhnya dengan Musa bahawa perletakan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri tidak ada kena mengena dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Surat 'top secret' Musa kepada Mahathir yang didedahkan.Surat 'top secret' Musa kepada Mahathir yang didedahkan.
"Untuk menyokong kenyataan ini saya sertakan dua surat yang ditulis Musa kepada saya untuk menyokong perlantikan T.R. sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

"Saya tidak boleh menyembunyikan kehendaknya untuk berahsia kerana dia bercakap dengan penuh persahabatan, yang membawa maksud tidak ada apa yang hendak disembunyikan," tulis Mahathir penuh sarkastik.

Dalam posting ini, Mahathir mendedahkan surat Musa yang bertanda 'Top Secret' itu yang dengan jelas membawa maksud sebaliknya iaitu Musa meminta Mahathir agar jangan melantik Tengku Razaleish Hamzah sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

"Secara tidak sengaja, saya suka mendedahkan bahawa semua diktator, Hitler, Mussolini dan Stalin meletakkan jawatan secara sukarela sebagaimana saya," tulis Mahathir sekali lagi penuh sarkastik kerana kesemua diktator itu bukan meletakkan jawatan secara sukarela.

"Yang menjadi misteri adalah bagaimana saya boleh dipilih lima kali.

"Tetapi sekarang baru kita tahu, perdana menteri yang dipilih juga boleh jadi diktator. Sebenarnya ia bukan misteri," tulis Mahathir yang kini aktif semula politik dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) atau Bersatu yang bercita-cita mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang ada.

"Sangat menyedihkan. Jika saya ditewaskan oleh T.R., kita akan menyaksikan persahabatan baik antara T.R. dan Musa dalam kerajaan.

"Negara mungkin akan menjadi negara membangun sepenuhnya pada tahun 2000 atau lebih awal," tulisnya lagi.

Tiada ulasan: