Rabu, 19 Oktober 2016

‘Saya ada di sana semasa MP Marang berucap’

Hanipa Maidin
Hanipa Maidin


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah), Hanipa Maidin mengakui terkejut dengan tindakan sebuah stesen penyiaran memutarbelitkan ucapan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurut ahli Parlimen Sepang itu, ucapan Abdul Hadi dalam sidang Dewan Rakyat semalam telah dipesongkan oleh wartawan yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ucapan Abdul Hadi tidak disiarkan secara menyeluruh menyebabkan rakyat boleh terpedaya dengan laporan pemberitaan stesen penyiaran berkenaan.

“Secara jujurnya, keseluruhan ucapan MP Marang tidaklah menyokong GST meskipun dalam mukadimah ucapan beliau ada menyatakan bahawa tidak dinafikan GST adalah mekanisme yang berkesan untuk kutip cukai dan selesaikan masalah orang tak bayar cukai.

“Tetapi,stesen berkenaan tidak mengamalkan etika kewartawanan yang betul. Hanya ambil bahagian itu sahaja dan tidak siar keseluruhan ucapan MP Marang. Saya ada di Dewan Rakyat masa MP Marang berucap!,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen pada pagi semalam, Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang bertanya soalan kepada Menteri Kewangan tentang sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat.

Difahamkan, setelah soalan asal dijawab oleh Menteri, Abdul Hadi berdiri pada sidang Dewan Rakyat yang sama sekali lagi untuk mengemukakan soalan tambahan.

“Tan Sri yang di-Pertua, soalan tambahan saya, GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan.

“Namun pun di sana ada impak Yang Berhormat sebut, dan kesan negatifnya ialah inflasi yang menjadi bebanan kepada rakyat awam, khususnya dalam barang-barang yang disebutkan tadi, masih ada sungutan-sungutan nilai mata wang, ini juga membebankan pelajar kita di luar negara, yang ke luar negara, sungutan itu banyak.

“Sejauh mana langkah-langkah kerajaan dan penilaian terhadap keberkesanan daripada langkah-langkah itu dan adakah kerajaan berfikir untuk mengadakan alternatif yang lain sekiranya ada? Terima kasih,” soal Abdul Hadi ketika mengemukakan soalan tambahan


Tiada ulasan: