Ahad, 9 Oktober 2016

Rasuah Sabah: 60 Sen Masuk Poket Bagi Setiap RM1

Oleh: MUGUTAN VANAR DAN RUBEN SARIO


 


KOTA KINABALU: Mengejutkan apabila 60 sen bagi setiap RM1 yang diperuntukan kerajaan Pusat untuk projek air telah dimasukkan ke poket individu yang tidak bertanggungjawab.

Pegawai kanan kerajaan negeri di sini memberitahu, hanya 40 peratus daripada dana bagi menyalurkan kemudahan air di Sabah diterima , manakala selebihnya disalahguna.

Penjawat awam yang maklum berhubung siasatan terhadap dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah itu berkata, skala rasuah melibatkan kedua suspek itu melibatkan terlalu besar kerana membabitkan dana awam mencecah RM3.3 bilion bagi projek di negeri itu sejak 2010.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Tahir Ag Talib, 54 dan timbalannya, Teo Chee Kong, 52 melibatkan rampasan mencecah RM115 juta  termasuk wang tunai RM52 juta yang ditemui di kediaman dan pejabat.

Dua lagi melibatkan abang Chee Kong yang berusia 55 tahun dan bergelar Datuk serta akauntan  turut ditahan pada Selasa.

Kes ini adalah antara yagn terbesar melibatkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan  dan pengubahan wang haram.

Difahamkan, proses tender ditetapkan untuk syarikat proksi pada kadar yang lebih tinggi.

Modus operadi yang dilakukan adalah dengan memecahkan projek kepada pakej kecil sehingga RM100,000 bagi mengelak proses tender.

Langkah ini dilakukan kerana pengarah dan timbalannya layak menandatangani projek kurang RM100,000.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan sebanyak 38 syarikat milik keluarga dan rakan kedua-dua suspek terlibat.

Difahamkan, 17 syarikat mempunyai kaitan langsung dengan pengarah jabatan itu, manakala 21 lagi timbalannya.

Syarikat berkenaan dikatakan digunakan untuk mengambil bahagian untuk mendapatkan tender projek berkenaan.

Tindakan tidak berintegriti ini dikatakan telah berlangsung sejak lima tahun lalu dengan jumlah semakin meningkat setiap tahun.

Sumber SPRM berkata, seramai 40 saksi di kalangan pegawai Jabatan Air yang terlibat memproses kontrak dan kontraktor akan dirakamkan keterangan mereka.

Pasukan khas melibatkan 70 anggota SPRM dibentuk bagi merekodkan keterangan saksi dan mengimbas dokumen serta penyaluran wang habuan.

Dua suspek utama itu juga akan diarah mengisytiharkan harta masing-masing mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 supaya siasatan lebih terperinci melibatkan kekayaan mereka dikesan.

Setakat ini, SPRM menemui wang tunai RM57 juta di pejabat dan kediaman, selain RM60 juta di peti simpanan di bank, selain barang kemas seberat 19 kilogram yang nilainya mencecah RM3.64 juta, 97 beg tangan berjenama bernilai RM500,000 milik isteri pengarah terlibat.

Selain itu, 127 geran hak milik tanah atas nama timbalan pengarah juga ditemui.

SPRM juga sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menjejak wang yang disimpan di beberapa bank di luar negara.

Tiada ulasan: