Sabtu, 8 Oktober 2016

Rasuah di Jabatan Air Sabah kecil berbanding 1MDB

MALAYSIA DATELINE
 
 
Wang ringgit dan barangan mewah yang dirampas daripada dua pegawai tinggi Jabatan Air Sabah oleh SPRM menggegarkan negara.Wang ringgit dan barangan mewah yang dirampas daripada dua pegawai tinggi Jabatan Air Sabah oleh SPRM menggegarkan negara.


Rampasan bernilai RM112 juta membabitkan dua pegawai Jabatan Air Sabah sebenarnya kecil berbanding rasuah mega membabitkan syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, walaupun rampasan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sabah itu menggegarkan negara dan mendapat liputan meluas media massa arus perdana, ia masih kecil berbanding masalah rasuah yang sedang dihadapi negara.
Malah beliau mempersoalkan sikap media massa negara yang mengabaikan berita permohonan Pejabat Peguam Negara Switzerland kepada pihak berkuasa negara ini dalam siasatan melibatkan penggelapan dana berjumlah USD800 juta (RM3.36 bilion) daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
"Lebih memeranjatkan, permohonan pihak berkuasa Swiss itu masih belum dilayan selama sembilan bulan, sejak Januari lalu," ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin pula mahu siasatan SPRM dibuat di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, bagi membanteras rasuah sektor awam.

“Mereka (yang diberkas SPRM semalam) hanya pengarah dan timbalan pengarah jabatan yang disangka mempunyai peluang lebih rendah untuk mendapatkan kekayaan melalui salah guna kuasa.

“Jika Jabatan Air boleh ada skandal sebesar ini, bagaimana pula dengan jabatan dan agensi kerajaan yang lain yang sentiasa mengeluarkan tender dan konsesi?” soal Chan yang juga Adun Sri Tanjong.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali pula berkata rampasan SPRM di Sabah menggambarkan bagaimana rasuah dan salah guna kuasa dalam negara kian meruncing.

"Ini adalah mimpi ngeri buat rakyat yang terpaksa bergelut dengan kesempitan hidup sehari-hari, dengan kuasa beli yang amat terhad lebih-lebih lagi setelah polisi-polisi tempang seperti GST.

"Namun saya ingin secara konsisten mengingatkan, skandal 1MDB yang melibatkan ‘Malaysian Official 1’ sebagai individu terpenting dalam sektor eksekutif di negara ini masih dilihat belum disiasat secara serius," ujarnya dipetik Roketkini.

Menurut beliau lagi, rakyat tidak lupa dengan angka RM2.6 bilion yang dipercayai telah didepositkan ke akaun peribadi Perdana Menteri namun tiada tindakan setimpal diambil berhubung skandal tersebut.

Semalam SPRM merampas sejumlah RM112 juta wang tunai selain sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah dalam kes rasuah melibatkan projek-projek pembinaan infrastruktur bernilai lebih RM3.3 bilion.

Suspek-suspek didakwa memonopoli kesemua projek untuk diserahkan kepada saudara mara.

Tiada ulasan: