Selasa, 4 Oktober 2016

PPBM bakal umum jumlah keahlian dua minggu lagi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya bercadang untuk mendedahkan jumlah sebenar ahli parti tersebut dalam masa dua minggu lagi.
 
Katanya, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mendedahkan jumlah penyertaan sebenar memandangkan borang secara manual masih belum dapat dikumpul di setiap negeri.
 
"Secara jujurnya, saya agak terkejut dengan penyertaan golongan anak muda bawah 30 tahun ke dalam parti ini.
 
"Selalunya orang kata anak muda tak ambil kisah tentang parti politik, tetapi majoriti yang daftar masuk (ke dalam PPBM) datang dari golongan anak muda," katanya ketika dihubungi, memetik laporan Sinar Harian Online.
 
Terdahulu, BMI Research yang merupakan anak syarikat Fitch Ratings berkata, PPBM tidak akan memberi ancaman sama ada kepada Umno atau BN pada pilihan raya umum akan datang.
 
Menurut kumpulan penganalisis antarabangsa itu, parti serpihan Umno yang baru ditubuhkan akan bertungkus-lumus untuk membezakan PPBM dengan parti pembangkang lain.
 
"Cabaran-cabaran sedia ada dengan itu menjuruskan bahawa PPBM buat masa sekarang tidak menimbulkan ancaman sama ada Umno atau BN dalam pilihan raya 2018 kerana parti itu masih belum mencapai persefahaman dengan parti-parti politik lain," kata BMI dalam analisis risiko politik.
 
Laporan itu menambah, parti baru itu tidak mempunyai sokongan akar umbi walaupun bergantung kepada populariti pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
"Tambahan pula, PPBM nampaknya hanya mempunyai dua kawasan berpengaruh di Pagoh dan Kedah yang berpunca daripada populariti peribadi Mahathir dan Muhyiddin sebagai kubu kuat tradisi," jelasnya.
 
PPBM ditubuhkan oleh Mahathir dan Muhyiddin bertujuan menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN pada pilihan raya umum akan datang.
 
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kebanyakan ahli PPBM didapati tidak pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini.
 
"Setakat ini, pihak kami sudah edarkan sehingga 200,000 borang dan kami masih terima pendaftaran secara atas talian.
 
"Bila semua borang sudah dikumpulkan kami akan umumkan jumlah sebenar ahli," tambah beliau.
 
 

Tiada ulasan: