Ahad, 9 Oktober 2016

Penyokong Palanivel tubuh parti baru?

INTAN NUR IDAYU


p_20161008_111247


KUALA LUMPUR: Penyokong Datuk Seri G. Palanivel akan mengadakan mesyuarat bersama dengan semua Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan MIC pada 15 Oktober ini bagi menentukan langkah seterusnya sama ada wujud keperluan untuk menubuhkan parti baru ataupun tidak.

Menurut wakil kumpulan tersebut  A.K. Ramalingam, ini adalah ekoran daripada perbincangan antara Datuk S. Sothinathan dengan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang sehingga kini masih belum mencapai sebarang kata putus.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Sothinathan adalah pada dua minggu yang lalu dan katanya beliau masih menunggu surat bertulis daripada pihak Dr Subramaniam untuk nyatakan yang pihak mereka setuju dengan syarat-syarat kita untuk kembali semula ke MIC.

“Tetapi sampai sekarang kita tak ada terima sebarang surat. Jadi, kita nak buat macam mana lagi?

“Sebab itu kita rancang nak tubuhkan parti baru tetapi apa-apa pun kita tunggu dulu hasil mesyuarat kita pada 15 Oktober ini,” katanya kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Tegas beliau lagi, sama ada parti baru yang dirancang mereka itu akan menyokong Barisan Nasional (BN) ataupun pembangkang, ia masih belum ditentukan.

“Kita serahkan kepada Ketua Bahagian dan Cawangan untuk tentukan pada mesyuarat minggu hadapan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan tentang kes rayuan yang dibuat oleh penyokong Palanivel terhadap lapan orang ‘rakan subahat’ Dr Subramaniam baru-baru ini mengenai kes konspirasi e-mel yang mana Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan untuk menolak kes tersebut.

“Kali ini, kita buat rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya supaya kes ini dibawa semula ke Mahkamah Tinggi.

“Saya difahamkan Mahkamah Rayuan tidak menolak kes yang dibawa oleh kita ini dan kita harap kita boleh semula kes ini ke Mahkamah Tinggi,” jelas Ramalingam.

Beliau turut menyatakan mahkamah masih belum menetapkan sebarang tarikh berhubung kes rayuan yang baru dibawanya ini.

Sebelum ini, lapan orang penyokong Palanivel telah memfailkan saman terhadap lapan orang ‘rakan subahat’ Dr Subramaniam termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kerana mendakwa wujud konspirasi e-mel antara pihak Dr Subramaniam dengan ROS berhubung isu pemilihan semula parti pada   2013.

Mahkamah bagaimanapun telah menetapkan tidak ada salah laku yang berlaku.

Tiada ulasan: