Sabtu, 8 Oktober 2016

Pensyarah UiTM ditemui mati dalam bilik fakulti

MALAYSIAKINI


Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, dijumpai mati di dalam bilik Fakulti Sains Gunaan universiti itu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian 2.30 pagi, mangsa, Prof Madya Dr Zaini Hamzah, 61, ditemui dalam keadaan terbaring dengan pintu bilik itu berkunci.

"Polis bantuan (universiti) mendapat maklumat daripada pihak universiti terdapat pensyarah yang terperangkap dalam bilik itu dan anggota (polis) bertugas telah pergi ke lokasi kejadian dan dapati bilik tersebut berkunci.

Anggota kemudian memecah masuk melalui syiling dan telah menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafien berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan siasatan awal menunjukkan mangsa meninggal dunia disebabkan sakit jantung.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said menyifatkan Zaini sebagai seorang pensyarah yang berdedikasi dan pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada universiti itu dan dunia pendidikan.

"Salam takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya dalam kenyataan.

Tiada ulasan: