Isnin, 3 Oktober 2016

PAS tak akan sertai BERSIH 5

DETIK DAILY
 



PAS memutuskan tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5 yang dijadualkan hujung bulan depan, walaupun pada prinsipnya menyokong matlamat asal gabungan itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, BERSIH 5 mempunyai banyak matlamat lain yang dirasakan tidak selari dengan pendekatan parti Islam itu pada masa kini.

"Kita ada kaedah sendiri untuk menjadi pembangkang yang efektif di negara ini selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang di bawa Pas sekarang," katanya.

Namun Takiyuddin berkata ketetapan sama ada PAS akan membenarkan ahlinya menyertai himpunan itu secara peribadi belum diputuskan lagi.

"Ahli-ahli mungkin akan pergi itu, kita belum buat arahan lagi sama ada mahu benarkan atau tidak," katanya kepada Sinar Online.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan PAS seolah-olah kini 'bersama BN' sekiranya tidak menyertai perhimpunan BERSIH 5.

"Tidak semestinya begitu, kita tidak sokong satu pihak itu bermakna kita menyokong pihak lain, itu teori yang tidak boleh di pakai semua keadaan, macam PAS pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar kita masuk bertanding menentang BN," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah mengumumkan pihaknya akan menganjurkan himpunan itu bertemakan 'Satukan Tenaga, Malaysia Baru!'.


Tiada ulasan: