Ahad, 9 Oktober 2016

PAS kecam tindakan penyokong Baju Merah serang konvoi BERSIH

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
  
SHAH ALAM: PAS mengecam tindakan penyokong Baju Merah yang mengasari peserta konvoi BERSIH di Sabak Bernam, semalam, yang disifatkan sebagai tindakan politik tidak bertamadun. 
 
Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad berkata, walaupun PAS mengambil pendirian untuk tidak menyertai Himpunan Bersih 5 namun tidak bererti parti itu menyokong tindakan kasar berkenaan.
 
"PAS menentang sebarang bentuk kezaliman dan tindakan tidak bermoral. Kerana ini merupakan ajaran Islam sebagai mana sabda Nabi SAW bermaksud 'Bantulah saudara kamu yang dizalimi'.
 
"Sekarang zaman millennium baru, bukan cara politik tahun 60an yang bersifat barbarian. 
 
"Politik hujah melawan hujah, program lawan program. Bukan konvoi lawan penendang. Baju Merah boleh kerah sebanyak mungkin untuk buat seperti konvoi Bersih 5. Bukankah negara kita, negara demokrasi?," katanya dalam satu kenyataan.
 
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan kepada individu yang terlibat.
 
"Jangan biarkan budaya samseng ini menular di dalam masyarakat," katanya lagi.
 
Semalam satu rakaman video memperlihatkan seorang penyokong BERSIH yang menunggang motosikal ditendang seorang penyokong Baju Merah. 
 
Kejadian itu berlaku ketika konvoi BERSIH melalui Sabak Bernam dari Teluk Intan. 
 
Kira-kira 100 anggota Baju Merah berkumpul dengan tujuan untuk menyekat laluan BERSIH dari Perak ke Selangor itu.
 
Konvoi itu adalah sebahagian daripada jelajah BERSIH selama tujuh minggu untuk mempromosi perhimpunan BERSIH 5 yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan. 


Tiada ulasan: