Isnin, 17 Oktober 2016

NUJ kutuk insiden kasari petugas media ketika konvoi BERSIH 5

ANTARAPOS.COM


Post Pic
SHAH ALAM: Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) mengutuk tindakan sekumpulan individu yang didakwa anti-BERSIH mengasari petugas media yang membuat liputan konvoi BERSIH 5 di Kuala Selangor semalam.
"Kumpulan ini jelas terlalu mengikut emosi dalam setiap tindakan mereka sehingga tidak dapat berfikir seperti seorang yang waras. Ternyata kumpulan ini tidak faham dan daif tentang tugas wartawan yang sebenar.
"Mereka bertindak seperti seorang yang tidak bertamadun sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi," ujar jurucakap pertubuhan itu menerusi kenyataan medianya, hari ini.
Sekumpulan individu pada Sabtu dilaporkan memprovokasi sekumpulan penyokong BERSIH 5 yang sedang mengedarkan risalah di luar sebuah pasaraya.
  
Dilaporkan lima orang daripadanya menghampiri petugas media daripada The Star, yang sedang membuat liputan dan menghalang mereka berbuat demikian.
Mereka kemudiannya menarik kolar petugas media wanita itu yang enggan memadam rakaman berkenaan, dengan menolaknya sambil menjerit "padam, padam".
Kumpulan itu juga mengepung seorang jurukamera agensi yang sama, untuk memaksanya memadamkan rakaman yang dibuat menerusi telefon bimbit.
Mereka turut bertindak merampas kad perakuan media petugas itu.
NUJ menyifatkan insiden berkenaan cukup memalukan dan menggesa ketua kumpulan ini ditangkap demi keharmonian dan keamanan negara ini.
"NUJ berharap pihak polis menahan golongan ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.
"Petugas media juga perlu mendapat keadilan dan perlindungan sewajarnya daripada ancaman yang boleh mengganggu gugat diri mereka untuk melaporkan berita yang benar.
"NUJ juga menggesa polis menangkap segera ketua kumpulan ini demi keharmonian dan keamanan Malaysia tercinta," kata NUJ.
Pertubuhan itu juga akan membuat laporan polis ke atas kumpulan anti-BERSIH kerana insiden semalam membabitkan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Tiada ulasan: