Ahad, 9 Oktober 2016

Khalid sokong RUU 355 yang akan dibentang Hadi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
CYBERJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan sokongan terhadap pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 yang akan dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.
 
Ujarnya, beliau percaya RUU berkenaan, yang dibawa bagi meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah, akan membawa keadilan kepada umat Islam dan bukan Islam di negara ini.
 
"Ya, saya rasa konsep syariah adalah berdasarkan keadilan. Walaupun rakyat tidak percaya hudud ia adalah bagus untuk dilaksanakan. Tapi perkara (lebih) penting bukan hudud tapi adalah keadilan untuk Muslim dan bukan Muslim.
 
"Saya tidak rasa undang-undang ini akan menyekat kebebasan bukan Muslim. Jika ia tidak adil, maka kita harus bekerjasama supaya undang-undang ini adil," katanya kepada pemberita selepas majlis bual bicara di Cyberjaya hari ini.
 
Hadi sebelum ini mengesahkan akan membentangkan RUU itu di sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pertengahan Oktober ini.
 
RUU tersebut adalah bagi mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, demi memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.
 
Pindaan terhadap akta berkenaan adalah bagi menaik taraf beberapa perkara bersabit hukuman dan isu teknikal lain dalam bidang kuasa mahkamah syariah sedia ada yang tidak menepati ciri-ciri Islam berlandaskan Al-Quran dan hadis.
 
Pada masa ini, bidang kuasa Akta 355 menetapkan denda tidak lebih RM5,000, penjara tidak lebih 3 tahun dan 6 sebatan.
 
PAS menjelaskan pindaan akta tersebut tidak akan membabitkan golongan bukan Islam, dan hanya melibatkan orang Islam sahaja. 
 
Malah, bidang kuasa yang terlibat adalah terhad dan hanya membabitkan kesalahan zina, menuduh zina (Qazaf), minum arak dan murtad.
 
Lain-lain kesalahan tidak tertakluk kepada perundangan Syariah kerana ia terletak dibawah undang-undang sivil.
 
 

Tiada ulasan: