Ahad, 23 Oktober 2016

"KEBANGGAAN" BAJET 2017 - HAPUS WAWASAN 2020 LEGASI TUN M, NAJIB ANJAK 30 TAHUN LAGI MAJUKAN MALAYSIA



Tanyalah siapa saja, rata-rata mengatakan Bajet 2017 yang dibentangkan Najib Razak semalam paling tidak menarik sekali. Tiada apa-apa yang luar biasa yang ditawarkan, walaupun seperti banyak gula-gula, semuanya hanya ala kadar dan biasa-biasa saja.

Ramai juga yang tidak mahu berbicara mengenainya, malah mengatakan tidak mustahil nanti akan dirombak semula seperti tahun lalu atau mungkin banyak projek yang ditangguhkan kerana ketiadaan wang.
 
 
 
 
Pemotongan subsidi minyak masak dan lain-lain barang pengguna yang tidak diumumkan turut menjadi kebimbangan ramai bahawa ia akan dilakukan kemudian atau sebulan dua selepas ini.

Bagi pihak pembangkang, mereka menyifatkan Bajet 2017 sebagai tidak realistik, tidak telus dan tidak seimbang antara perbelanjaan dengan  hutang.
 
Daripada mana wang diperolehi juga tidak jelas, kata mereka.
 
 
 
 
Lagi-lagi senjata Najib adalah BR1M, tetapi dalam masa yang menyasarkan kutipan cukai GST yang lebih tinggi berbanding RM30 bilion yang dikutip tahun ini. 

Maknanya GST akan terus menjerut leher rakyat.

Peruntukan untuk Bajet 2017 ialah sebanyak RM260.8 bilion yang merangkumi RM214.8 bilion untuk belanja mengurus, RM46 bilion untuk pembangunan, RM77.4 untuk emolumen dan RM32 bilion untuk perkhidmatan serta bekalan.

Dalam erti kata lain, perbelanjaan banyak tertumpu untuk membayar gaji dan elaun, sementara jika Malaysian Official 1 sebagaimana yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman AS yang didakwa menerima AS$731 juta atau kira-kira RM3 bilion wang 1MDB yang dilencongkan ke dalam akaun peribadinya, peruntukan RM46 bilion untuk pembangunan bagi 30 juta rakyat Malaysia itu hanya menyamai kewujudan 15 orang MO1 sahaja.
 
 
 
 
Kurangnya peruntukan untuk pembangunan bermakna kurangnya kemudahan yang disediakan untuk rakyat. Yang menjadi kebanggaan Najib hanyalah BR1M.

Kalau ada pun perkara lain yang boleh menjadi "kebanggaan" mengenai Bajet 2017 ialah kejayaan Najib menggantikan Wawasan 2020 dengan TN50 atau Transformasi Negara 2050 yang sekaligus bermakna penghapusan legasi Tun Mahathir Mohamad.
 
 
 
 
Ia dengan sendirinya mengesahkan Najib telah gagal meletakkan Malaysia sebagai negara maju pada 2020 sebagaimana yang disasarkan oleh Tun Mahathir dan menganjakkan lagi selama 30 tahun ke hadapan bagi mencapainya.

Bermakna, jangkaan Tun Mahathir bahawa Wawasan 2020 akan gagal disahkan dengan sendirinya oleh Najib.

Selain menjadikan majlis pembentangan kali ini sebagai acara populis dengan antaranya membawa pemenang pingat emas paralimpik dan orang asli ke Parlimen, layar besar di Dewan Rakyat turut dipenuhi dengan lambang BN sewaktu Najib menyampaikan ucapan yang jelas sebagaimana yang dikesali oleh Ahli Parlimen Pas, Nasaruddin Hassan adalah bermotifkan politik kepartian.

Ini bajet negara atau bajet BN? soal Ahli Parlimen Temerloh itu.
 
 
 
 
Sebelum pembentangan Bajet 2017 juga, Najib ada mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima 8,352 cadangan daripada rakyat dan akan mengambil kira sebahagian daripadanya.

Dengan bajet yang sedemikian rupa dan tidak ada apa-apa yang istimewa ini, berapa banyak daripada cadangan rakyat itu yang diambil kira oleh Najib atau semuanya juga satu sandiwara dan gula-gula untuk menggambarkan dirinya pemimpin berjiwa rakyat? 
 
 
 

Tiada ulasan: