Sabtu, 8 Oktober 2016

Jamal tak takut disaman Maria, pertahan kenyataan

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Terserah kepada Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah untuk memfailkan saman terhadap saya, demikian menurut Presiden Gabungan NGO Malaysia Datuk Jamal Md. Yunos.
 
Beliau tetap dengan pendirian mengaitkan kumpulan BERSIH itu diresapi dengan fahaman IS, dan menegaskan ia bukanlah satu fitnah kerana mempunyai bukti terhadap tuduhan tersebut.
 
"Jadi apa yang dia nak buat itu hak beliau, saya juga ada hak saya. Kalau beliau boleh mengemukakan saman kepada saya, saya juga boleh.   
 
"Bagi saya apa yang saya nyatakan sebelum ini bukanlah satu fitnah, cuma beliau menganggap ia fitnah. 
 
"Jadi biarlah mahkamah yang menentukan dan saya telah menyerahkan apa yang saya tahu, maklumat yang saya dapat kepada pihak berkuasa dan biar mereka menjalankan siasatan," katanya kepada Antarapos.
 
Semalam, Maria mengemukakan saman fitnah terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar kerana mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan Daesh. 
 
Beliau memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam N Surendran dan Melissa Sasidaran. 
 
Dalam tuntutan tersebut Maria menyatakan Jamal mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu sidang media di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 September lalu. 
 
Jamal turut didakwa mengeluarkan perkataan fitnah kedua pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 4 Oktober lalu. 
 
Tambah Jamal lagi, beliau tidak akan berhenti daripada menyekat BERSIH menghasut rakyat mempercayai agenda negatif mereka.
 
"Apa juga yang dia (Maria Chin) mahu lakukan, mahu lantik sepuluh atau dua puluh peguam sekalipun. Ia tidak akan menghalang kumpulan baju merah untk menyekat, menghalau baju kuning ini di semua lokasi yang mereka turun.   
 
"Bila saya dapat maklumat, sesuatu yang boleh memudaratkan negara dan orang ramai (jadi) saya perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: