Khamis, 6 Oktober 2016

Jabatan Orang Asli akui Kerajaan Kelantan tidak peduli

ARIF ATAN
 
 
Orang Asli membantah aktiviti pembalakan yang mengancam kehidupan mereka.Orang Asli membantah aktiviti pembalakan yang mengancam kehidupan mereka.


Kemuncak pergelutan antara syarikat pembalak dengan Orang Asli di Hutan Simpan Kekal Balah di Gua Musang, Kelantan sehingga berlaku tembakan, 28 September lalu dilihat akibat pengabaian kerajaan negeri terhadap hak tanah dan wilayah adat masyarakat berkenaan.

Sumber Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berkata, isu berkaitan kawasan rayau atau saka masih gagal ditangani ketika Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi alasan kononnya operasi syarikat pembalakan di kawasan itu adalah berlesen.

“Bila kita sebut tentang kawasan rayau, di sinilah peranan kerajaan negeri. Kita (JAKOA) cuma boleh maklumkan berkenaan kawasan rayau tapi hak milik adalah kerajaan negeri,” ujarnya yang mahu dikenali sebagai Razak ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ditanya tentang peranan yang wajar diambil bagi mengelak ancaman berterusan aktiviti pembalakan terhadap masyarakat Orang Asli, beliau mengakui hal tersebut sama sekali bukan dalam pertimbangan kerajaan negeri.

“Terus terang, kawasan rayau ini tidak pernah pun diambil berat oleh kerajaan negeri sebab tidak ada dalam undang-undang. Pejabat Menteri Besar tidak peduli walaupun memorandum dan bantahan pernah dibuat.
“Sebabnya, kerajaan negeri sudah ada perjanjian dengan syarikat balak tersebut. Banyak kelompangan dalam aspek berkaitan undang-undang berhubung hak Orang Asli,” ujarnya.
Razak yang masih berkhidmat di ibu pejabat JAKOA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur berkata, tuntutan Orang Asli juga berdepan cabaran besar apabila Akta 134 tidak mengandungi istilah kawasan rayau walaupun wilayah itu turun-temurun didiami Orang Asli.
“Ancaman pembalakan kepada Orang Asli ini memang banyak. Sungai mereka bergantung tercemar, hasil hutan berkurangan, tanah-tanah yang sebelum ini menjadi sumber pendapatan Orang Asli juga musnah,” tegasnya.

Menurutnya pihak JAKOA telah menyatakan pendirian supaya dalam pengurusan hutan termasuk di negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan mesti mengambil kira kepentingan masyarakat setempat khususnya yang melibatkan kawasan tadahan air dan aktiviti sosioekonomi setempat seperti bercucuk tanam dan mencari hasil hutan.

Hal itu, ujarnya, antara rumusan daripada mesyuarat JAKOA bersama pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, syarikat serta wakil komuniti Kampung Kuala Bering, Gua Musang pada 5 Mei lalu yang kemudiannya dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam surat bertarikh 28 Jun yang ditunjukkan kepada Malaysia Dateline itu, turut dimaklumkan bahawa pihak syarikat telah menggantung semua operasi pembalakan ekoran bantahan penduduk tempatan.

“Sebarang perancangan, permohonan, kelulusan, pengeluaran permit, perjanjian, hasil, keluasan kawasan untuk pembalakan dan penguatkuasaan hutan adalah di bawah seliaan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri,” dipetik daripada surat ditandatangani Ketua Pengarah JAKOA, Mohd Jamalludin Kasbi.

Untuk rekod, Perkara 7(3) Akta 134 memberi kuasa kepada kerajaan negeri membatalkan, meminda dan mengubah mana-mana pengisytiharan mengenai rizab Orang Asli yang dibuat di bawah Seksyen 3(1).

Surat JAKOA kepada Suhakam 28 Jun lalu turut menyebut peranan penting kerajaan negeri Kelantan dalam mengiktiraf hak tanah Orang Asli.Surat JAKOA kepada Suhakam 28 Jun lalu turut menyebut peranan penting kerajaan negeri Kelantan dalam mengiktiraf hak tanah Orang Asli.
muka 2muka 2
muka 3muka 3
 

Tiada ulasan: