Jumaat, 7 Oktober 2016

Hari terakhir komponen BN kemuka maklum balas persempadanan semula

MALAYSIA GAZETTE




Setiausaha agung parti komponen Barisan Nasional (BN) diberi sehingga hari ini untuk mengemukakan maklum balas dan syor berhubung cadangan persempadanan semula yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata kelompok daripada satu bangsa yang terlalu besar dalam satu kawasan parlimen adalah antara isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan setiausaha agung parti komponen BN pada minggu lepas bagi menyelaras cadangan balas kepada SPR.

"Keadaan ini dibimbangi akan menyebabkan sesetengah kawasan mempunyai komposisi kaum yang tidak seimbang atau diwakili kaum tertentu sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Program Tahsin Iqra di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata turut dibangkitkan parti komponen BN berhubung cadangan persempadanan semula itu ialah berkaitan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dikeluarkan daripada kawasan Parlimen.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Semua pihak diberi masa sebulan sehingga 14 Okt untuk mengemukakan bantahan masing-masing.
-- BERNAMA


Tiada ulasan: