Ahad, 9 Oktober 2016

Gerakan umum lima calon PRU14 untuk rakyat buat penilaian

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Gerakan hari ini memperkenalkan lima individu yang bakal diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor bagi memberi peluang kepada rakyat membuat penilaian awal.
 
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, strategi kali pertama yang dilakukan Gerakan itu akan membolehkan rakyat menilai dengan teliti dan memberi peluang kepada calon yang juga penyelaras parti bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
 
Menteri perusahaan, perladangan dan komoditi itu berkata, mereka akan melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum nama dihantar kepada pengerusi Barisan Nasional (BN).
 
"Kami harap sebelum bulan depan kami dapat hantar biodata dan profil calon kepada SPRM supaya boleh semak untuk dapat pelepasan jika terdapat masalah yang mungkin kita tidak tahu," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-45 Gerakan, hari ini.
 
Lima calon yang diperkenalkan hari ini, termasuk Pengerusi Gerakan Selangor, Datuk David Ang Chin Tat bagi kerusi Parlimen Puchong.
 
Selain itu, bagi kerusi DUN, Naib Presiden Gerakan, Datuk A Kohilan Pillay diletakkan di Kota Alam Shah; Timbalan Speaker, Syed Abdul Razak Syed Long (Bukit Lanjan); Setiausaha Organisasi Pemuda, Ben Liew Pok Boon (Teratai) serta Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda, Chai Ko Thing (Bukit Gasing).
 
Mah yang juga ahli Parlimen Teluk Intan berkata, lima kerusi itu diperuntukkan kepada Gerakan bagi Selangor, kecuali kerusi DUN Kota Shah Alam yang dipinjamkan kepada MyPPP bagi PRU ke-13 lalu.
 
Mah berkata, dengan pengumuman itu, beliau berharap pembangkang turut dapat melakukan perkara sama supaya rakyat boleh membandingkan calon diketengahkan kedua-dua pihak.
 
Mengenai calon di kawasan lain, Mah berkata, Gerakan sedang berbincang dengan MCA bagi memohon pertukaran kerusi DUN Tanah Rata di Pahang yang ditandingi Gerakan dengan DUN Ketari yang ditandingi MCA pada PRU13.
 
 

Tiada ulasan: