Rabu, 19 Oktober 2016

Fitnah isu GST, Pemuda PAS desak TV3 mohon maaf pada Hadi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: TV3 digesa memohon maaf kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana memfitnah Presiden PAS itu berhubung isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, IR Khairil Nizam Khirudin berkata kenyataan Hadi bersabit GST tidak dilaporkan agensi swasta itu dalam konteks yang betul, malah tergantung.
 
TV3 menyiarkan Hadi sebagai mengakui GST adalah kaedah berkesan melalui berita bertajuk “GST: Terbukti Berkesan - Presiden PAS” yang disiarkan dalam Buletin Utama pada 18 Oktober 2016. 
 
"Sesungguhnya TV3 telah membelakangkan prinsip asas pemberitaan yang mementingkan kebenaran dan kebertanggungjawaban," ujar Khairil melalui kenyataan medianya, hari ini.
 
"Dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen pada pagi Selasa, 18 Oktober 2016, Tuan Guru Presiden PAS yang merupakan Ahli Parlimen Marang bertanya soalan kepada Menteri Kewangan iaitu _”sejauh mana hasrat Kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat tidak mengira kaya atau miskin dan mengambil mekanisme lain yang lebih adil, saksama dan tidak membebankan rakyat?”
 
"Setelah soalan asal tersebut dijawab oleh Menteri, Tuan Guru Presiden PAS bangun mengemukakan soalan tambahan dengan berkata: “Tan Sri yang di-Pertua, soalan tambahan saya, GST merupakan percukaian murah oleh Kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan. Namun pun di sana ada impak Yang Berhormat sebut, dan kesan negatifnya ialah inflasi yang menjadi bebanan kepada rakyat awam, khususnya dalam barang-barang yang disebutkan tadi, masih ada sungutan-sungutan nilai mata wang, ini juga membebankan pelajar kita di luar negara, yang ke luar negara, sungutan itu banyak, sejauh mana langkah-langkah Kerajaan dan penilaian terhadap keberkesanan daripada langkah-langkah itu dan adakah Kerajaan berfikir untuk mengadakan alternatif yang lain sekiranya ada? Terima kasih,” Khairil memetik kembali hujah Hadi dalam Parlimen, pada Selasa.
 
Justeru Khairil berkata amat malang sekali apabila TV3 memanipulasi pertanyaan Hadi dengan hanya menyiarkan sekerat sahaja tanpa menyiarkan sepenuhnya soalan tersebut dengan niat untuk menggambarkan kononnya Ahli Parlimen Marang itu menyokong GST.
 
"Bukankah ini adalah fitnah yang nyata bagaikan seterang cahaya mentari dengan menyiarkan berita yang dikerat dan digubah sesuka hati bagi memenuhi citarasa tuan empunya mereka?
 
"Tuan Guru Presiden PAS bangun bersuara memperjuangkan isu rakyat di Parlimen dengan mendesak Kerajaan agar menilai kembali pelaksanaan GST yang begitu membebankan rakyat di semua peringkat. Namun, hasrat murni beliau telah dipergunakan TV3 untuk menipu rakyat di kampung agar percaya bahawa Presiden PAS sokong GST," tegas Khairil lagi.
 
Hari ini, bukan hanya TV3, malah akhbar Utusan Malaysia serta New Straight Times (NST) turut melaporkan perkara yang sama.
 
 

Tiada ulasan: