Sabtu, 15 Oktober 2016

.Fenomena ombak besar mulai esok hingga 19 Oktober




KUALA LUMPUR: Angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di beberapa kawasan mulai esok sehingga Rabu depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata angin kencang Barat Laut dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan angin kencang Barat Daya pula diramal berlaku di perairan Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu, Miri), Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan) serta Labuan.

“Pada masa sama, kejadian air pasang besar yang signifikan juga akan berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang mendedahkan kawasan tersebut kepada kenaikan paras air laut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan pantai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan semasa melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia atau aplikasi di telefon myCuaca.

Sementara itu di Shah Alam, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti riadah di kawasan pantai di Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata dalam tempoh itu, paras air di sekitar daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap tertinggi iaitu di antara 5.6 hingga 5.7 meter.

“Saya menasihatkan supaya semua aktiviti pelancongan di tepi pantai dan laut ditunda sepanjang tempoh itu. Pelancong juga dinasihatkan supaya tidak ke kawasan pantai barat Selangor ketika fenomena air laut pasang besar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jawatankuasa Bencana Selangor sebelum ini meramalkan paras air laut berada pada paras tertinggi di antara 16 hingga 19 Oktober ini, yang menyebabkan beberapa kawasan di pesisir pantai berisiko banjir dan ditenggelami air.

Di Seremban pula, 4 kawasan di pusat peranginan Port Dickson termasuk Pantai Bagan Pinang, Batu 3 dan Pantai Saujana, Batu 4 dijangka mengalami fenomena air pasang besar.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Port Dickson Muhammad Isa Md Onzer berkata kawasan lain ialah Pantai Teluk Kemang di Batu 8 dan Pantai Tanjung Biru atau Blue Lagoon di Batu 10.

Beliau berkata fenomena itu dijangka berlaku esok sehingga 20 Oktober yang menyebabkan ketinggian paras ombak mencapai 2.5 meter hingga 3.5 meter.

“Justeru itu, para pengunjung dinasihatkan peka dengan fenomena air pasang besar dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga akan mengibarkan bendera merah di menara penyelamat pantai sebagai tanda amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti pantai dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, nelayan bot-bot kecil diminta mengehadkan aktiviti di pantai sebagai langkah keselamatan.

Tiada ulasan: