Jumaat, 7 Oktober 2016

BN akan tumbang di Kedah pada PRU14

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan tumbang di Kedah pada pilihan raya akan datang.

Muhyiddin berkata, ini bersangkutan dengan sentimen rakyat di negeri jelapang padi itu selepas bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan daripada jawatannya.

"Selepas Mukhriz disingkirkan...mungkin sudah cukup matang untuk BN tumbang, sebab saya tengok sentimen rakyat Kedah selepas peristiwa itu berlaku ia amat tidak baik bagi BN,penerimaan mereka kepada MB baharu (maaf cakap) tidak sehebat Mukhriz," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian dalam wawancara eksklusif bersama beliau di Kumpulan Media Karangkraf.

Muhyiddin mendakwa sebelum tindakan penyingkiran Muhriz dilakukan beliau telah menghantar satu pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sebelum Najib pecat Mukhriz saya hantar mesej kepada beliau saya beritahu 'amaran baik' jangan buat begitu...itu permulaan kepada kejatuhan BN, tapi yang pasti mereka tidak endahkan, jadi perkiraan saya BN di Kedah sudah cukup ranum dan cukup matang untuk terjatuh," katanya.

Mukhriz dipecat daripada Umno pada Jun lalu, dan disingkirkan daripada jawatannya sebagai  Menteri Besar Kedah  dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.


Tiada ulasan: