MALAYSIAKINI
NGO alam sekitar antarabangsa, Tabung Bruno Manser (BMF) mencabar
bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio berdebat mengenai rasuah di
Malaysia
Dalam suratnya bertarikh 4 Oktober, BMF "mempelawa" DiCaprio untuk hadir pada debat awam di kota London pada 14 Oktober ini.
"Kami ingin mempelawa anda untuk membahaskan kesan buruk rasuah besar ke atas masyarakat Malaysia dan alam sekitar.
"Kami
juga, khususnya berminat untuk belajar lebih lanjut mengenai hubungan
kewangan Yayasan Leonardo DiCaprio, Appian Way Productions dan anda
secara peribadi bersama Riza Aziz, Low Taek Jho dan sekutu mereka,"
petik surat itu.
Appian Way Productions adalah syarikat yang ditubuhkan oleh DiCaprio.
Riza adalah anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,
manakala Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah seorang
hartawan yang mempunyai hubungan rapat dengan Riza.
Kedua-dua mereka dinamakan dalam saman sivil oleh Jabatan Keadilan
(DOJ) dalam usaha untuk mendapatkan kembali aset lebih AS$ 3.5 bilion
yang didakwa telah diselewengkan daripada 1MDB.
DiCaprio juga dirujuk dalam saman berkenaan sebagai ‘Hollywood Actor
1' dan adalah didakwa bahawa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai
aktiviti perjudiannya bersama Low.
Terdapat juga tuduhan bahawa dana berkaitan 1MDB turut didermakan kepada Yayasan DiCaprio.
Debat itu dianjurkan sempena pelancaran dokumentari Before the Flood di Eropah yang diterbit dan dibintangi oleh DiCaprio.
"DiCaprio harus memahami bahawa kita tidak boleh menyelamatkan alam
sekitar jika kita gagal menghentikan rasuah," kata Pengarah Eksekutif
BMF, Lukas Straumann dalam satu kenyataan media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan