Khamis, 20 Oktober 2016

Bersih 5: Usah kaitkan nama Almarhum Tok Guru

SALMAH MAT HUSAIN 



 

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengingatkan mana-mana pihak tidak menggunakan nama Almarhum Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu Himpunan Bersih 5.0.

Katanya, PAS tetap dengan pendiriannya tidak akan menyertai himpunan itu memandangkan ia keputusan parti.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian selepas mesyuarat exco, di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa yang mendakwa PAS wajib menyertai Bersih 5.0.

Kata Husam lagi, PAS perlu sertai kerana ia pesanan almarhum ketika masih hidup.

Datuk Mohd Amar seterusnya mengakui Almarhum telah mengarahkan parti dan anggotanya menyertai himpunan berkenaan sebelum ini.

Bagaimanapun, menurut beliau lagi apa yang dikeluarkan ketika itu adalah berdasarkan keputusan parti dan suasana masa itu.

“Pendirian itu (sertai himpunan) bukan yang tetap sebaliknya akan berubah mengikut keadaan dan situasi semasa.

“Jadi saya rasa tidak kena menggunakan nama Tok Guru pada waktu itu untuk diguna pakai pada waktu sekarang,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkata, anggota parti tidak akan keliru tentang arahan itu kerana mereka telah faham.

Datuk Mohd Amar menambah, tidak wajar mengaitkan nama Almarhum pada masa itu untuk diguna pakai ketika ini. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: