Ahad, 2 Oktober 2016

Bersih 5: Tiada pergaduhan besar di Teluk Intan

Bersih 5: Tiada pergaduhan besar di Teluk Intan
Pasukan polis sedang mengawal peserta baju merah yang dikatakan menghalang peserta baju kuning dari memasuki pasar malam Teluk Intan. Gambar kecil: Peserta Bersih 5 sedang mendengar taklimat dan berhimpun di hadapan pejabat Amanah Teluk Intan 
 
 
TELUK INTAN - Tiada pergaduhan besar berlaku sebaliknya hanya insiden kecil tolak menolak berlaku antara penyokong Bersih 5 dan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, di sini petang tadi.

Dianggarkan sekitar 200 orang penyokong baju merah yang diketuai oleh Pengerusi Badan (NGO) Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos, berkumpul di hadapan pejabat Amanah Teluk Intan bagi menghalang peserta Konvoi Bersih 5, daripada menghampiri Pasar Malam di Teluk Intan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Yahaya Hassan berkata, secara keseluruhan keadaan perhimpunan berkenaan terkawal dan tiada insiden tumbuk-menumbuk seperti yang didakwa.

"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa muka individu-individu yang memulakan provokasi semasa perhimpunan berkenaan dan tindakan akan diambil.

"Pihak polis juga meminta kerjasama wakil yang terlibat agar membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurut Yahya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, telah mengerahkan lebih 100 anggota termasuk Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan.

"Mengikut maklumat yang diterima, kumpulan baju kuning berkenaan ingin mengedarkan risalah kepada orang ramai tetapi kita tidak benarkan atas faktor keselamatan.

"Kita berjaya mengawal kesesakan lalu lintas akibat daripada perhimpunan ini dan kesemua penyokong bersurai pada jam 6 petang," katanya.

Sementara itu, Jamal berkata, semua pemimpin pembangkang yang tidak berpuas hati dengan apa jua isu perlu menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan perkara tersebut.

"Wakil rakyat dipertanggungjawab membawa sebarang isu di dewan parlimen dan bukan dengan cara menghasut rakyat turun ke jalanan dan membenci kerajaan dan menggugat ketenteraman awam," katanya.

Turut kelihatan pada perhimpunan di Teluk Intan petang semalam, adalah Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin bersama kira-kira 200 peserta konvoi baju merah yang datang dari arah Lumut.

Difahamkan kesemua peserta Bersih 5 yang berbaju kuning mula berkumpul di Lumut kira-kira jam 9 pagi sebelum bergerak ke Ayer Tawar dan tiba di Teluk Intan sekitar jam 2 petang.


Tiada ulasan: