Ahad, 9 Oktober 2016

BERSATU tetap positif jalin kerjasama dengan PAS

Shakira Buang


LIHAT VIDEO DI SINI

Tun Dr Mahathir Mohamed tetap positif untuk meneruskan perbincangan bersama PAS meskipun parti Islam itu menolak kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang yang menjalin hubungan dengan DAP.

Ini kerana, tegas Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, PAS sebelum ini telah sekian lama menjalin hubungan dengan parti-parti pembangkang itu.

Malah, bekas pemimpin veteran Umno itu berkata, kemenangan PAS di kebanyakan kerusi yang dimenangi parti Islam itu juga dibantu oleh rakan komponen Pakatan Harapan itu.

"Ini adalah sangat menyedihkan (penegasan PAS tolak kerjasama dengan pembangkang) tetapi seperti mana yang kita PAS sebelum bekerjasama dengan DAP dan PAS dipilih serta mendapat sokongan ahlinya juga kerana DAP dimana pengundi Cina membantu PAS untuk menang dikawasan majoriti pengundi Cina.

"Saya berharap kita akan dapat mengadakan pertemuan dengan PAS untuk menjelaskan jika mereka tidak bersama kita dalam pilihan raya mereka sebenarnya akan membantu kerajaan untuk menang sebab mereka akan kehilangan banyak kerusi," kata Mahathir ketika menghadiri sidang Kemuncak Kebebasan Malaysia di Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa parti-parti pembangkang yang ingin bekerjasama dengan PAS mesti meninggalkan DAP sebelum rundingan boleh diadakan.

"Realitinya adalah DAP masih menentang perjuangan Islam PAS.

"Oleh itu, dasar semasa PAS adalah untuk menolak DAP dan semua pihak yang bekerjasama dengan DAP," katanya dalam satu kenyataan, demikian menurut satu laporan dalam Harakah Daily.

Oleh itu, Nasruddin berkata persamaan yang mudah untuk pihak-pihak yang mahu bersama dengan PAS adalah untuk meninggalkan DAP dan mematuhi syarat yang mudah - menghormati perjuangan teokratik parti.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas apakah BERSATU akan meneruskan kerjasama itu sedangkan mereka menentang hudud, ini jawab Mahathir:

"Ada perbezaan antara kita, tetapi jika kita menekankan perbezaan, kita tidak akan boleh bekerja bersama-sama.

"Oleh itu, jika kita mahu bekerjasama untuk menukar kerajaan yang sangat kuku besi dan tidak liberal kita harus mengendalikan masalah ini bersama-sama," ujar Mahathir lagi.

Tiada ulasan: