Selasa, 4 Oktober 2016

Beri kontrak kepada adik-beradik, 2 pegawai disiasat SPRM

MALAYSIA GAZETTE
 



Dua pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan monopoli dan memberikan projek-projek jabatan itu kepada sanak-saudara mereka.

Kedua-dua mereka yang berjawatan pengarah dan timbalan pengarah, masing-masing berusia 54 dan 51 tahun itu ditahan di pejabat mereka di Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira 9.15 pagi tadi.

Turut dirampas wang tunai bernilai lebih kurang RM3 juta yang disimpan dalam peti besi di pejabat salah seorang pegawai kanan tersebut.

Sumber berkata, kedua-dua mereka mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion sejak tahun 2010 telah monopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Projek-projek bernilai RM3.3 bilion itu hanya melibatkan peruntukan oleh Kerajaan Pusat, tidak termasuk kerajaan negeri.

Perbuatan mereka ini telah menutup peluang kontraktor-kontraktor lain.

Penyalahgunaan kuasa itu dipercayai berlaku sejak tahun 2010 sehingga kini, kata sumber.

SPRM dipercayai telah membuat beberapa siri serbuan termasuk di agensi berkenaan dan syarikat-syarikat kontraktor terlibat.

Siasatan awal SPRM mempercayai mereka telah mengumpul kekayaan melebihi RM50 juta.

Mereka ini sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: