Khamis, 6 Oktober 2016

Akaun Permata tidak dibentang di pertemuan anjuran Pembantu Rosmah

Permata

Roketkini.com
 


KUALA LUMPUR- Masih wujud beberapa kekaburan mengenai program Permata Negara naungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor walaupun DAP berkunjung ke salah sebuah pusatnya hari ini.

Ia berikutan hasrat wakil-wakil DAP untuk meneliti akaun Permata yang sudah diaudit secara terperinci belum kesampaian berikutan pihak Permata hanya boleh memberi laporan audit itu selepas DAP menulis surat kepada Ketua Audit Negara.

“Kita masih belum dapatkan laporan penuh daripada Jabatan Audit Negara mengenai Yayasan Permata.

“Kita akan menulis surat kepada pihak Audit Negara untuk mendapatkannya dan kita harap selepas itu, Permata dapat menyiarkannya di laman web agar semua pihak termasuk orang awam dapat menelitinya,” ujar Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Delegasi DAP berkunjung ke salah sebuah Pusat Anak Permata Negara yang terletak di Kerinchi sebagai memenuhi undangan Pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor baru-baru ini.

Pelawaan Rizal itu dibuat selepas Bee Yin melahirkan hasrat mahu melihat akaun Permata serta gambaran penuh pengurusan program pendidikan awal kanak-kanak itu.

Wakil DAP lain yang turut hadir terdiri daripada Adun Subang Jaya Hannah Yeoh, Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey dan Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Mereka kemudiannya dijemput ke satu sesi taklimat tertutup selama hampir dua jam dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program Permata, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Perunding Kanan Program Permata, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin.

Bee Yin ketika dalam sidang media berkata, pihak DAP mengucapkan terima kasih kepada Permata atas pertemuan hari ini walaupun ada perkara yang masih tidak jelas selain wujud perbezaan pendapat.

“Contohnya seperti mengapa Permata diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri sedangkan ia sepatutnya diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian.

“Lebih baik jika Permata menggunakan dana daripada kementerian itu dan bukan menerima dana dari JPM. Dengan cara itu, ketelusan dan kebertanggungjawaban akan lebih terjamin,” jelasnya.

Pembantu Rosmah dijemput ke Pulau Pinang

Pada masa sama, Bee Yin turut menjemput Rizal ke Pulau Pinang bagi mendapatkan gambaran sebenar pengurusan kerajaan negeri itu setelah ia didakwa oleh kerajaan Barisan Nasional sebagai kononnya terlibat dengan rasuah.

“Kita jemput Rizal ke Pulau Pinang supaya kita boleh adakan sesi dialog seperti ini dan memberikan penerangan jelas kepadanya.

“Sebelum ini, kita sudah pun jemput Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk sesi dialog tetapi beliau menolak,” katanya.

Rizal sebelum ini berkata Bee Yin boleh berkunjung ke Permata dengan syarat dalam tempoh tiga hari selepas lawatan itu, beliau mesti bersetuju untuk mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan projek-projek kontroversi Pulau Pinang.

Menurut Bee Yin, segala projek yang dipersoalkan oleh Rizal seperti terowong bawah tanah dan rumah kos rendah di Taman Manggis telah diterangkan berkali-kali oleh DAP, namun ia masih juga dijadikan kontroversi.

“Kita sudah jelaskan ia dalam pelbagai cara seperti dalam ceramah, media sosial, laman web rasmi, tetapi ia tetap juga diungkit berkali-kali.

“Jadi, saya menjemput Rizal untuk datang sendiri ke Pulau Pinang bagi benar-benar memahami isu yang dibangkitkan itu,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: